Bagi menangani persepsi negatif masyarakat terhadap anggotanya selain meningkatkan tahap keselamatan dalam lokap, Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini melancarkan sistem lokap SMART ( Self-Monitoring Analytics Reporting Technology ).
Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM Datuk Zulkifli Abdullah berkata, sistem ini dibangunkan untuk mengurangkan insiden tidak diingini serta salah laku, sama ada tahanan ataupun polis, di dalam lokap.
"Isu tahanan dalam lokap memang menjadi perhatian media jika berlaku kematian atau pergaduhan.
"Jadi dengan adanya CCTV 'intelligent' yang dipasang ini akan dapat memberi amaran awal kepada sentri untuk beri respon segera, jika misalnya ada OKT yang cuba bunuh diri atau sakit (yang menyebabkan kematian mengejut)," kata Zulkifli dalam sidang media di Pusat Tahanan Berpusat Jinjang, Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata PDRM memandang serius apa yang dilaporkan media.
Justeru, beliau berharap sistem ini dapat meningkatkan imej polis, terutama oleh NGO yang sebelum ini mengkritik tahap keselamatan lokap polis.
Malah, Zulkifli juga percaya bahawa dengan adanya sistem pintar sebegini, pihak berkuasa dapat bertindak dengan lebih cepat dan efektif terhadap apa-apa insiden tidak diingini yang berlaku di dalam kawasan tahanan mereka.
"Ia juga lebih telus. Para penyiasat boleh melihat sendiri rakaman CCTV jika ada dakwaan polis melakukan kekerasan sehingga menyebabkan kematian dalam tahanan," katanya lagi.
Setakat ini sistem lokap SMART dilaksanakan di 58 lokap dan bakal dikembangkan ke seluruh negara.
Ia juga mendapat tempat pertama dalam 'Innovative Enterprise Award Asia Pasific 2015'.
