Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Sangat tidak adil dan dangkal untuk sesiapa pun mempertikaikan latar belakang Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, terutama jika melihat kepada sejarah pendidikannya.

Ketika politik Kedah baru keluar daripada keadaan terumbang-ambing, membiarkan masa dihabiskan untuk bercakap tentang kelayakan Ahmad Bashah sebagai menteri besar tentulah membuang masa yang sangat berharga.

Masa itu sepatutnya diluangkan untuk memikirkan perancangan negeri untuk membantu rakyat Kedah menghadapi realiti hidup sehari-hari.

Tidak ada banyak yang aneh apabila seseorang menteri besar ditukar di negara ini (walaupun mungkin dalam kes tertentu, insiden di Perak boleh menjadi kes rujukan dan duluan sebagai perbandingan).

Pada Mei 2009 Perak membuktikan pertukaran menteri besar masih boleh berlaku walaupun mendapat bantahan meluas - dan dari aspek tertentu, melucukan.

Tidak pernah terfikir politik sebuah negeri boleh menjadi kelam-kabut apabila jawatan menteri besar direbut sebegitu rupa. 'Persidangan' di bawah pokok, misalnya, atau bagaimana speaker DUN diangkat dari kerusinya supaya speaker lain dapat menggantikannya.

Atas kebijaksanaan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri kemelut itu berjaya diatasi akhirnya.

Begitu juga halnya dengan Terengganu. Ketika persiapan kenduri kahwin anaknya sedang giat dijalankan Datuk Seri Ahmad Said diminta berundur.

Memang ada penentangan sedikit tetapi jawatan menteri besar tetaplah bertukar kepada Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman mulai Mei 2014.

Untuk kesekian kalinya rakyat tentu berterima kasih kepada kepintaran Najib mengatasi kekalutan itu dengan tuntas.

Bukan Bashah seorang tiada ijazah

Justeru tidak ada yang perlu dibisingkan sangat apabila Ahmad Bashah ditunjuk oleh orang atasan partinya untuk mentadbir Kedah menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Mukhriz memang anak bekas perdana menteri tetapi Najib sebagai perdana menteri tentu mempunyai alasan yang kuat apabila beliau mahu menggantikan seorang lulusan Universiti Boston dengan Ahmad Bashah.

"Bukankah dulu BN menguar-uarkan Mukhriz sebagai menteri besar sebagai bahan meyakinkan rakyat Kedah mengalahkan Pakatan Rakyat?" kata seseorang.

Memanglah. Dan BN sudah mengotakan janjinya melantik Mukhriz sebagai menteri besar. Ikrar BN dulu tidak pun menyatakan bahawa Mukhriz mesti menjadi menteri besar sehingga berapa tahun, atau hingga tahun sekian sekian.

Jangan cepat menuding jari kepada BN kerana kerajaan Selangor juga pernah menyatakan bahawa manifesto pilihan raya bukan suatu perjanjian antara parti politik yang bertanding dalam pilihan raya dengan pengundi.

Maka mempertikaikan dan mempersenda latar pendidikan Ahmad Bashah, 66, kononnya hanya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia adalah tindakan tidak beradab.

Tambahan pula tuduhan itu tidak benar jika kita merujuk kepada keterangan Datuk Lokman Noor Adam yang mengesahkan Ahmad Bashah memiliki kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Pembunuhan watak" seperti dihujahkan oleh panel pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu memang tepat. Musuh yang dengki kepada Ahmad Bashah sengaja mempermainkan isu berkenaan walaupun hakikatnya adalah salah.

Tidakkah mereka sedar bukan Ahmad Bashah saja pemimpin yang tidak memiliki sebarang ijazah daripada mana-mana universiti.

Ketika anda membaca artikel ini, anda sebenarnya mungkin terhutang budi kepada tokoh lain yang juga tidak memiliki sebarang ijazah dari universiti?

Pernah ada PM sleep apnea

Anda mungkin melihat pautan rencana ini dari Facebook yang dipelopori Mark Zuckerberg. Untuk membaca berita semasa pula anda mungkin terhutang budi kepada Bill Gates atau Steve Jobs.

Jika perdana menteri boleh melantik tokoh besar seperti Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sebagai Pengerusi Tabung Haji, di mana salahnya perdana menteri melantik Ahmad Bashah menjadi menteri besar?

Penilaian dan hujah untuk mempertikaikan keputusan kepimpinan Umno perlu dibuat secara objektif dan bukan semberono.

Kemudian ada pula yang tersenyum sinis apabila Ahmad Bashah didakwa "suka tidur".

Selain beliau sudah menjelaskan jawapan terhadap tuduhan itu, kita juga perlu mengakui mata yang terpejam bukanlah petanda minda dan deria lain juga tertutup.

Malaysia pernah membuktikan betapa seorang perdana menteri juga boleh mentadbir sebuah negara dengan baik walaupun menghadapi sleep apnea.

Ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi mengakui masalah kesihatannya itu menyebabkan beliau sering tertidur - dan pada masa sama tetap mampu mentadbir Malaysia - apa sangatlah dengan Ahmad Bashah yang dituduh tertidur sedangkan beliau mengakui bahan berkenaan sudah mengalami proses suntingan.

Kesimpulannya, Kedah tetaplah akan terus maju dan membangun walaupun ketua pentadbiran kerajaan negeri di Wisma Darul Aman bukan lagi Mukhriz.

Kedah bertuah kerana memiliki seorang tokoh penting yang membawa kepada kejayaan Umno dan BN menawan negeri itu daripada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum lalu.

Ahmad Bashah seorang pemimpin yang merakyat dan merendah diri. Beliau adalah salah satu anugerah terbaik untuk warga Kedah.

Lihat Komen
ADS