Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu kubah Masjid Shah Alam RM32.4 juta berlarutan
Diterbitkan:  Feb 4, 2016 12:15 PM
Dikemaskini: 9:02 AM

Pertikaian berkaitan kos pertukaran panel kubah dan jubin masjid negeri di Shah Alam berlarutan apabila pengkritik menolak penjelasan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kelmarin.

Azmin antaranya berkata projek itu tidak patut dipertikai kerana diluluskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada tahun lalu dan demi kepentingan umat Islam.

Aktivis dan bekas pemimpin kanan PKR Badrul Hisham Shaharin ( gambar ) bagaimanapun berkata kelulusan dewan tidak boleh dijadikan alasan, seperti penolakan orang ramai terhadap Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“(Katanya) Kelulusan tak boleh pertikai sebab melalui dewan. Ooo, kalau macam itu TPPA, GST dan sebagainya yang juga lulus ikut dewan Parlimen tak boleh pertikailah?” soalnya dalam kenyataaan.

Bernama pada 29 Januari melaporkan Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor Mas Abd Rahman Mas Mohamed sebagai berkata kerja baik pulih kubah itu menelan kos RM32.4 juta.

Kerja menggantikan panel kubah dan jubin yang mempunyai tulisan ayat suci al-Quran di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah itu dijangka siap hujung tahun ini.

Menurut Mas Abd Rahman, ia akan akan diganti dengan panel jenis 'vitrous enamel' dari Jerman yang lebih ringan dan tahan lasak serta perlu dicuci menggunakan air tanpa cecair kimia.

Islam tak agungkan pembaziran

Dua hari selepas itu, Badrul yang sering mengkritik kepimpinan Azmin bagaimanapun mendakwa kos projek itu suatu pembaziran dan mengaitkannya dengan projek ubah suai gerbang Kota Darul Ehsan bernilai RM9.8 juta yang dipertikaikannya sebelum ini.

“(Azmin jelaskan) Projek ganti satu kubah dengan bazirkan RM32.4 juta wang rakyat demi kepentingan umat Islam.

“Ini fitnah terhadap agama sendiri, Islam sendiri tidak mengagungkan pembaziran dan perbelanjaan yang tidak mendesak,” katanya yang lebih dikenali sebagai Chegubard.

Sementara itu, media rasmi negeri SelangorKini pula memetik Mas Abdul Rahman sebagai berkata

kubah baru itu menggunakan sistem punca air “yang juga sistem pertama di dunia”.

“Kubah masjid sebelum ini sebahagiannya menunjukkan kecacatan seperti karat yang mungkin disebabkan oleh penggunaan cecair kimia semasa penyelenggaraan,” beliau dipetik sebagai berkata.

AMANAH: Kawal selia dari rasuah

Sementara itu, pergerakan pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Shah Alam pula dalam kenyataan semalam menyokong penuh usaha itu.

“Adalah wajar untuk membaiki kerosakan serta mencantikkan semula keadaan Masjid bagi memberikan keselesaan jemaah, malah imej masjid bertambah baik serta berupaya menjadi contoh kepada masjid lain di Selangor,” kata ketuanya Danial Al-Rashid Haron.

Berkaitan kos RM32.4 juta, mereka menyalahkan kerajaan pusat dengan mendakwa “kos yang bersesuaian dengan keadaan semasa disebabkan hasil kelemahan pentadbiran kerajaan pusat dalam mengawal harga bekalan bagi urusan pembaikian ini”.

“Kos yang semakin meningkat, di samping aspek monopoli yang dianjurkan oleh Umno-BN memberikan kesan yang sangat tinggi kepada industri pembangunan,” katanya.

“Sekiranya kerajaan pusat mengawal dengan baik, kami merasakan kos yang bakal dibelanjakan tidak terlalu tinggi, di samping dapat melaksanakan penjimatan kewangan negeri, dan disalurkan kepada kluster kebajikan kepada rakyat.”

Danial bagaimanapun berkata, mereka yakin Selangor akan melantik badan profesional untuk mengawal selia projek itu daripada unsur rasuah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS