Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ini bukan debat pasal qunut, tegas Asri
Diterbitkan:  Feb 10, 2016 3:44 PM
Dikemaskini: 10:44 AM

Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin menegaskan debat antara beliau dengan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Waljamaah Malaysia (Aswaja), Zamihan Mat Zin bukan berkaitan isu teologi, mahupun mengenai hukum membaca qunut atau mengadakan kenduri arwah.

Sebaliknya, Asri berkata debat berkenaan berkisar mengenai persoalan ekstremisme agama di Malaysia.

“Mungkin sesetengah pihak kurang beri perhatian kepada tajuk diskusi iaitu "Ekstremisme agama di Malaysia: satu perbincangan".

“Ia bukan berkaitan isu teologi ataupun qunut dan kenduri arwah. Ia isu ekstremisme agama di Malaysia, bagaimana ia ditafsirkan,’ kata Asri dalam Facebook beliau hari ini bagi mengulas kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Harussani hari ini dilaporkan sebagai berkata tiada gunanya jika debat berkenaan hanya bertujuan menyalahkan pendapat orang, selain kedua-dua pihak tidak mahu mengaku kalah.

“Pada saya, kalau nak berdebat mesti akhirnya ada kebenaran.

“Imam Syafie pernah tidak baca qunut ketika bersolat di Masjid Imam Hanafi kerana menghormati Imam Hanafi bukan kerana kata Imam itu salah. Dia (Imam Syafie) tak pernah menyalahkan Imam Hanafi dan begitu juga sebaliknya.

“Kita berguru dengan Imam Syafie, Imam Hambali, Imam Hanafi dan Imam Maliki diiktiraf ilmu pengetahuannya. Sebab itu orang ikut pendapat,” katanya lapor Sinar Harian.

Manakala, Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa juga dilapor mempersoalkan sama ada berbaloi atau tidak pendebatan dua tokoh agamawan itu.

Menurut Mujahid, pendebatan seharusnya membincangkan perkara yang lebih besar seperti isu rasuah dan penyelewengan dalam kalangan pemimpin Islam di negara ini.

Bukan sembang kedai kopi

Sementara itu Sinar Harian melaporkan bahawa Zamihan mencadangkan agar ada resolusi bagi debat antaranya dengan Asri.

Katanya, resolusi itu perlu dibacakan pihak berkuasa agama seperti Pengerusi Majlis Fatwa atau Ketua Pengarah Jakim.

“Jika tiada resolusi, debat hanya tak ubah seperti sembang-sembang kedai kopi sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga mencadangkan debat tersebut tidak melibatkan penjawat awam kerana mereka bukan pemain utama urusan agama di negara ini.

Asri sebelum ini memutuskan beliau bersetuju untuk mengambil bahagian dalam debat dengan Zamihan.

Debat tersebut dianjurkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan dijadual berlangsung di Dewan Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya pada 17 Februari ini.

Lihat Komen
ADS