Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR gesa UM ketepi tindakan pada 'aktivis wifi'
Diterbitkan:  Feb 11, 2016 8:59 PM
Dikemaskini: 1:02 PM

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menggesa agar pihak Universiti Malaya (UM) menggugurkan dakwaan terhadap enam mahasiswanya yang membantah bayaran tambahan bagi penggunaan Internet tanpa wayar (wifi) di kampus itu.

Malah, katanya, UM seharusnya mengadakan sesi dialog bersama mahasiswa selain memberi perhatian terhadap permasalahan seharian mereka.

“Hak mendapatkan akses Internet yang sewajarnya adalah hak mahasiswa.

“Adalah lebih baik pihak Universiti Malaya menggugurkan tindakan tatatertib yang dikenakan ke atas enam orang mahasiswa,” kata Nurul Izzah dalam kenyataannya hari ini.

Sebelum ini, Persatuan Untuk Belia Baru UM (UMANY) dan Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) menyuarakan kritikan terhadap keputusan UM yang mengehadkan akses wifi di kampus kepada 5GB mulai Mac 2016.

Kuota Internet bakal dikurangkan dan bayaran tambahan akan dikenakan untuk penggunaan wifi di kampus.

Setelah menyuarakan perkara itu, enam mahasiswa – Nur Hananie Chow Abdullah, Suhail Wan Azahar, Fahmie Nuaiman, Muhammad Luqman, Ho Chi Yang dan Chua Hun Chi – menerima notis berkaitan prosiding tatatertib dan diarahkan untuk hadir ke UM pada 15 Februari ini.

Kata Nurul Izzah lagi, pandangan enam pelajar UM tersebut sebenarnya selari dengan hakikat Malaysia mempunyai akses Internet lambat, tidak setanding dengan caj yang perlu dibayar.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut membandingkan perkhidmatan Internet antara negara ini dan Thailand serta Singapura yang menawarkan harga lebih berbaloi.

"Perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi (Unifi) dikategorikan sebagai terbaik dan capaiannya adalah 20 megabait sesaat (mbps) dengan caj yang dikenakan melebihi RM100.

"(Ini) Berbanding capaian Internet di Singapura, iaitu 500mbps ke 1gbps, sementara Thailand pula adalah 44mbps, ditambah syarikat telekomunikasi (telco) di negara tersebut yang menawarkan pelbagai pakej.

"Namun di Malaysia, tarif asas berharga RM25 untuk 1GB yang ditawarkan semua pembekal perkhidmatan," katanya.

Justeru, beliau menyeru supaya kerajaan mengotakan janji mereka terhadap mahasiswa dengan tidak mengenakan caj-caj tambahan yang akhirnya akan meningkatkan kos sara hidup mereka.

“Saya menyeru kerajaan Malaysia agar mengotakan janji-janji kepada mahasiswa agar bukan sahaja tidak akan menaikkan kadar yuran pengajian, bahkan tidak akan membenarkan universiti awam mengenakan caj-caj tambahan secara sesuka hati yang akhirnya akan menjejaskan kos sara hidup mahasiswa di kampus,” katanya.

Lihat Komen
ADS