Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KDN: Tiada angka mutlak kemasukan pekerja Bangladesh
Diterbitkan:  Feb 12, 2016 6:40 AM
Dikemaskini: 10:45 PM

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan tiada angka mutlak bagi kemasukan pekerja Bangladesh ke negara ini kerana ia bergantung kepada keperluan sebenar majikan semasa permohonan dibuat.

Kementerian itu dalam kenyataan semalam berkata jumlah kemasukan pekerja Bangladesh ke negara ini juga akan dinilai berdasarkan kelayakan serta kemampuan setiap majikan mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan.

Pada masa sama, kemasukan pekerja asing ini akan dipantau kerajaan melalui Agensi Kawal Selia bagi mengelakkan berlakunya kebanjiran pekerja asing dalam negara dan memastikan hanya pekerja asing yang layak sahaja dibenarkan bekerja di Malaysia.

"Kerajaan masih memberi keutamaan pekerjaan kepada rakyat tempatan terlebih dahulu. Kemasukan buruh asing ke negara ini tidak akan menjejaskan dan menggugat peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan serta keseimbangan pasaran buruh dalm negara.

"Ini kerana pekerja asing ini hanya dibenarkan bekerja dalam lima sektor iaitu pembinaan, perkilangan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan," demikian menurut kenyataan itu.

Menurut kementerian berkenaan, angka 1.5 juta pekerja Bangladesh yang mendapat liputan luas media sebenarnya merupakan jumlah warga Bangladesh yang berdaftar dengan kerajaan negara itu untuk tujuan pekerjaan.

"Dalam konteks dasar penggajian pekerja asing Malaysia, pengambilan pekerja Bangladesh adalah tertakluk kepada permintaan industri bagi sektor yang dibenarkan untuk menggajikan pekerja asing selaras dengan konsep permintaan dan penawaran.

"Kerajaan juga tetap memastikan keutamaan pekerjaan kepada rakyat tempatan adalah didahulukan," jelas kementerian berkenaan.

KDN berkata konsep Kerajaan Kepada Kerajaan Plus (G-to-G Plus) antara Malaysia dan Bangladesh yang menggunakan sepenuhnya sistem dalam talian bermula dengan proses permohonan pekerja adalah untuk mengawal penglibatan ejen pekerja asing tidak sah yang menyumbang kepada kenaikan kos penggajian serta risiko kepada eksploitasi pekerja asing.

"Kerajaan juga berpandangan mekanisma ini juga akan menaikkan penarafan Malaysia dalam usaha pencegahan terhadap aktiviti jenayah pemerdagangan orang," tambah kenyataan itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS