Anwar akan terus jadi penasihat PKR
Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus menjadi penasihat kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan isterinya Datin Seri wan Azizh Wan Islam, tetapi dijangka mengambil kepimpinannya apabila sekatan terhadap aktiviti politiknya berakhir kelak.
Wan Azizah memberitahu AFP, beliau menjangka Anwar akan memegang jawatan rasmi dalam PKR sebaik sahaja beliau dibolehkan berbuat, memandangkan ramai yang menganggapnya sebagai seorang pemimpin masa.
Anwar dilarang memegang sebarang jawatan awam sehinggalah tahun 2008 mengikut undang-undang bagi mereka yang disabitkan dengan kesalahan jenayah. Beliau dibebaskan pada 2 September lalu selepas menjalani hukuman enam tahun penjara atas kesalahan salahguna kuasa.
"Semuanya bergantung kepada ahli parti. Ramai yang berpendapat begitu, dan jika beliau menjadi pilihan mereka, maka itulah yang akan berlaku. Saya pun menjadi ahli politik secara tidak sengaja," katanya.
Parti tersebut ditubuhkan untuk memperjuangkan kes Anwar yang telah dipecat pada 1998 dari Umno dan kerajaan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dari. Beliau kemudiannya dipenjarakan atas tuduhan yangdidakwanya sengaja direka, untuk menghalangnya daripada mencabar pucuk pimpinan .
Anwar enggan menyatakan apa-apa mengenai rancangan masa depannya selepas dibebaskan daripada penjara.
Anwar hanya mengataka beliau akan kekal bersama pihak pembangkang, sambil tidak menolak kemungkinan akan bekerjsama dengan parti pemerintah, untuk memperbetulkan apa yang dianggapnya sebagai sistem politik korup.
Belum berjumpa Pak Lah
Sejurus selepas beliau dibebaskan, Anwar memohon untuk mengadakan perjumpaan peribadi dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengambil alih kuasa daripada Dr Mahathir yang bersara pada bulan Oktober 2003, tetapi menurut Azizah, pihaknya belum menerima sebarang jawapan dari Pak Lah.
Anwar telahpun mengadakan perjumpaan dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat, sehingga mencetuskan desas-desus mengenainya kemungkinan penggabungan antara PKR dengan PAS.
Bagaimanapun, Wan Azizah menafikan desas-desus itu dengan mengatakan 'tidak timbul langsung persoalan mengenai gabungan dengan PAS".
"Anwar membuat kunjungan hormat (ke atas Nik Aziz) kerana mereka banyak menolong. Apa yang Anwar kata ialah beliau mahu mengeratkan hubungan dan meningkatkan lagi kerjasama," katanya.
Sebelum pemecatan mengejutnya, Anwar dijangka menjadi bakal pengganti Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri. Bagaimanapun, parti Keadilan dilihat tidak mungkin mampu menjadi platform bagi Anwar untuk mencapai cita-cita itu.
Kesemua Perdana Menteri Malaysia, sejak negara ini mencapai Kemerdekaan dari British pada 1957, datangnya daripada parti memerintah, Umno, yang mempunyai jumlah kerusi terbanyak di Parlimen manakala Keadilan hanya mempunyai satu kerusi yang diwakili oleh Wan Azizah.
- AFP