Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jalan yang perlu dilalui pejuang bahasa Melayu untuk menghalang pelaksanaan Program Dasar Dwibahasa (DLP) dijangka masih terlalu panjang jika respons orang ramai kepada pelancarannya semalam diambil kira.

Semasa pelancaran kempen mendesak pemansuhan DLP di depan kompleks beli-belah di Kuala Lumpur semalam, jumlah kehadiran juga sangat menyedihkan.

Bagi penyair dan pelakon Pyanhabib pelaksanaan DLP itu mempunyai signifikan kepada dirinya.

Ditemui Malaysiakini Pyanhabib berkata DLP adalah jelmaan semula program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Bagaimanapun katanya ramai yang belum menyedari bahaya pelaksanaan DLP.

Sebagai bukti, kata Pyanhabib, jumlah kehadiran semasa pelancaran kempen semalam hanya kira-kira 50 orang.

"Rakyat Malaysia ada kira-kira 30 juta orang kalau tak termasuk warga asing import.

"Yang hadir semalam tak sampai sejuta orang. Ke mana pergi semua orang yang bising-bising nak pertahankan bahasa Melayu?

"Orang yang datang - selepas asingkan wartawan, jurugambar, polis dan anggota Cawangan Khas - hanya 50 orang saja," katanya.

Anak mangsa PPSMI

Semalam sekumpulan aktivis, termasuk sasterawan negara, penulis dan pensyarah berkumpul melancarkan kempen menggesa kerajaan mansuhkan DLP yang didakwa cubaan mengembalikan PPSMI.

Tiga sasterawan negara hadir iaitu Datuk Dr Mohd Anwar Ridhwan, Prof Dr Muhammad Salleh serta Datuk Baha Zain.

Untuk rekod, sejak anugerah itu diperkenalkan pada 1981, seramai 13 orang seniman diangkat sebagai sasterawan negara.

Daripada jumlah itu lima daripada mereka sudah meninggal dunia. Sasterawan negara terbaru ialah Datuk Dr Zurinah Hassan.

Menurut Pyanhabib, dua anaknya adalah 'mangsa' kepada pelaksanaan PPSMI dulu.

"Anak pertama saya belajar menggunakan bahasa Melayu di sekolah menengah. Tiba-tiba PPSMI dilaksanakan, dia jadi keliru sebab pengajaran sains dan matematik menggunakan bahasa Inggeris.

"Anak kedua saya di sekolah rendah pula menjadi kumpulan pertama pelaksanaan PPSMI.

"Dia belajar sains dan matematik dengan bahasa Inggeris. Tiba-tiba PPSMI dimansuhkan dia jadi keliru sebab rumus kedua-dua subjek berkenaan ditukar ke bahasa Melayu pula," katanya.

Justeru, kata Pyanhabib, jika DLP diteruskan lebih ramai kanak-kanak yang menjadi mangsa kepada perubahan dasar pembelajaran yang dibuat secara tidak matang.

"Bayangkan bagaimana keadaan pelajar di luar bandar yang kurang terdedah kepada bahasa Inggeris.

"Saya juga hairan mengapa hanya sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan jadi tempat ujian pelaksanaan DLP?" katanya.

Lihat Komen
ADS