Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Orang Bangladesh dan kita sama di sisi tuhan'
Diterbitkan:  Feb 16, 2016 10:23 PM
Dikemaskini: 2:33 PM

Marahkan nyamuk kelambu dibakar.

Begitu yang mungkin terjadi di alam maya apabila orang ramai memperolok-olokkan warga Bangladesh selepas kerajaan dilapor mahu membawa masuk 1.5 juta pekerja negara itu.

Tidak selesa dengan perkembangan yang “merendahkan martabat” itu, speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini mengingatkan tentang sasaran sebenar kemarahan itu harus dilepaskan.

“Kebanyakan pekerja hijrahan ini korbankan segala-gala untuk masa depan lebih baik untuk keluarga mereka.

"Eksploitasi pekerjalah yang patut kita kutuk, bukan pekerja-pekerja.

“Tuhan jadikan mereka sama seperti saya dan kamu juga,” katanya.

Menulis di Facebook, beliau mahu kritikan itu dilontarkan kepada pihak yang betul.

“Kami mahu cakap tentang punca masalah?

"Boleh saya cadangkan kamu mula dengan Putrajaya,” kata anggota Dewan Undangan Negeri Subang Jaya itu.

Kerajaan sebelum ini terpalit kontroversi selepas dilapor hendak membawa masuk ramai 1.5 juta pekerja asing daripada Bangladesh.

Kementerian Dalam Negeri tidak berapa lama selepas itu menjelaskan tiada angka mutlak bagi kemasukan pekerja Bangladesh kerana ia bergantung kepada keperluan sebenar majikan semasa permohonan.

Cenderung xenofobia

Sementara itu, pendebat terbaik Asia Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ( gambar ) juga turut meluahkan rasa kesalnya dengan perkembangan itu, yang kini dilihat cenderung ke arah xenofobia atau rasa prejudis terhadap warga luar.

“Tidak salah untuk kita menyuarakan pendapat tentang kemasukan 1.5 juta warga Bangladesh ke dalam negara kita.

“Tetapi janganlah kita memanggil mereka dengan nama seperti bangsa 'perogol', 'perompak', 'sampah'.

“Perbuatan sedemikian adalah sangat tidak bermoral dan tidak melambangkan nilai seorang rakyat Malaysia,” tulisnya di Facebook.

Lihat Komen
ADS