Ketepikan dulu dasar negara Islam, kata DAP kepada PAS
DAP telah 'memalapkan' harapan rakannya dari pembangkang untuk kembali menyertai semula Barisan Alternatif (BA) walaupun pucuk pimpinan PAS bersetuju 'berlembut' berhubung dasar negara Islam.
Walaupun DAP tidak menolak langsung kemungkinan menyertai semula BA selepas meninggalkannya pada tahun 2001, seorang pemimpinnya menegaskan, partinya tidak dapat berbuat demikian sehinggalah PAS 'melupakan terus' niatnya untuk menubuhkan negara Islam jika ia berkuasa.
Pada masa yang sama, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyuarakan keraguannya sama ada PAS benar-benar akan berbuat demikian.
Malaysiakini melaporkan minggu lalu bahawa PAS bersetuju untuk menerima semula manifesto bersama BA tahun 1999, bagi mewujudkan barisan pembangkang yang bersatupadu, selepas prestasi buruk mereka dalam pilihanraya lalu.
Manifesto bersama BA tahun 1999 tidak menyebut langsung mengenai penubuhan negara Islam tetapi menerima Islam sebagai satu cara hidup.
Difahamkan, bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan perbincangan dengan pihak PAS dan DAP di mana salah satu matlamatnya ialah untuk membawa DAP menyertai semula BA.
Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub dipetik sebagai berkata, parti itu merancang menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengkaji cadangan dan memulakan perbincangan dengan pihak DAP.
Kurang jelas
Ketika dihubungi hari ini, Lim menegaskan, partinya tidak akan bekerjasama dengan PAS selagi parti itu masih memperjuangkan penubuhan negara Islam.
"Apa maksudnya'berlembut'? Saya tidak faham maksud 'berlembut'...ianya tidak memberi apa-apa perbezaan kecuali mereka menyatakan dengan jelas dan tegas bahwa mereka tidak akan memperjuangkan konsep negara Islam," katanya.
"'Berlembut' bermakna ia (dasar negara Islam) masih dalam pakej dan hanya pendekatan dan penyampaiannya yang berbeza...ianya boleh 'berlembut' hari ini tetapi kembali kepada asalnya esok," tegasnya.
Bagaimanapun, Lim enggan mengulas lanjut apakah yang dimaksudnya 'mengetepikan negara Islam', tetapi hanya berkata, "ianya terpulang kepada PAS...mereka kena melakukannya sendiri."
Beliau juga menafikan terdapatkan perjumpaan diadakan dengan Anwar atau adanya cadangan untuk DAP kembali menyertai semula BA.
Lim sebaliknya mengulangi bahawa 'tiada ruang untuk sebarang perbincangan selagi (dasar) negara Islam masih wujud" dan selagi PAS melaksanakan undang-undang Islam di negeri Kelantan yang diperintahnya.
Beliau juga sangsi sama ada DAP bersedia untuk menerima semula manifesto BA tahun 1999, berasaskan kepada pengalaman parti itu bersama PAS dalam gabungan tersebut.
"Mereka(PAS) tidak benar-benar berpegang kepadanya (manifesto BA 1999)...mereka mengkhianatinya dan mengeluarkan manifesto lain di Terengganu. Kami tidak lagi mempercayai mereka berhubung hal tersebut," tambah Lim.
Spekulasi
"Kami tidak mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana pemimpin (PAS), tetapi mereka memutarbelit dasar-dasar yang diterima (oleh BA)," katanya.
Sementara itu Pengerusi DAP Karpal Singh, ketika dihubungi, menyifatkan sebarang cadangan untuk partinya kembali menyertai semula BA, hanya satu "spekulasi".
"Pendirian kita memang jelas," katanya, tetapi enggan mengulas lanjut.
DAP menyertai gabungan BA pada 1999, tetapi menarik diri dua tahun kemudiannya kerana bertelagah dengan PAS mengenai dasar berhubung dasar penubuhan negara Islam. Kini hanya PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menganggotai BA.
Anwar, yang juga penasihat PKR, tidak dapat dihubungi untuk mendapat penjelasan lanjut mengenainya kerana beliau kini dalam perjalanan ke Britain untuk menghadiri zamalah selama tiga bulan di Universiti Oxford.