Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tanda ‘bebas babi’ okay, tapi ‘halal’ lebih baik, kata pengguna

Walaupun tanda 'bebas babi' di sesetengah premis makanan menjadi pertikaian kerana didakwa mengelirukan umat Islam namun terdapat pihak berpendapat tanda berkenaan diletakkan berikutan sukar untuk mendapatkan sijil serta logo halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Seorang pengurus sumber manusia di sebuah hotel, Aina Aziz Abdullah berkata, beliau amat memahami kesukaran sesebuah kedai makan untuk mendapatkan logo halal.

"Saya kerja di hotel saya faham bukan senang nak dapat cop dan sijil dari Jakim. Selagi saya tahu makanan itu 'tiada babi', saya OK sebab tak semua hotel ada tanda halal," katanya ketika ditemui Malaysiakini.

Di tanya sama ada beliau akan memasuki premis makanan yang memaparkan tanda itu, Aina ( kanan ) berkata beliau tidak mempunyai masalah.

"Tak ada masalah selagi ia tiada babi," katanya yang turut berpendapat bahawa tidak wajar sekiranya kerajaan ingin mengambil tindakan terhadap premis yang memaparkan tanda 'bebas babi' itu.

Bagi Razif Rashid ( kiri ), seorang jurutera pula, walaupun secara peribadi akan memilih kedai makan yang mempunyai logo halal namun ia adalah pilihan masing-masing sama ada ingin memakan di kedai yang meletakkan tanda 'bebas babi' atau tidak.

"Sebenarnya ia terpulang, pada saya sama ada untuk memilih nak masuk (ke kedai makan itu) atau tidak. Semudah itu. Secara peribadinya ia terpulang kepada anda.

"Kalau rasa bebas babi itu bukan bermaksud halal, jadi kena fikir sendirilah," katanya.

Bagaimanapun, terdapat juga pihak yang merasakan tanda logo halal penting di premis makanan bagi memberi keyakinan kepada umat Islam untuk makan di tempat berkenaan.

Zulkifli Mad Ani ( kanan ), 29, berkata beliau akan memilih restoran yang mempunyai tanda logo halal berbanding 'bebas babi' kerana menganggap ia tidak meyakinkan.

Beliau juga mencadangkan supaya restoran yang dimiliki bukan Islam turut memohon untuk mendapat sijil serta logo halal Jakim bagi memudahkan pelanggan mereka.

"Tak semua orang tahu apa itu 'pork', 'bacon', 'ham'. Susah juga tu jadi lebih baik ada logo halal," katanya.

Pendapat itu turut dikongsi oleh Mohd Zulkifli Hamzah, 25, yang menganggap logo halal itu bagi memudahkan umat Islam tidak tertipu.

Walaupun tanda 'bebas babi' itu tidak mengelirukan namun beliau khuatir sekiranya terdapat pihak yang 'tertipu' dengan tanda sedemikian.

"Penting ada tanda halal sebab kita tak tahu kalau orang tipu kita, jadi pentinglah. (Tapi) ia terpulang pada orang juga. Sesetengah orang tengok ada 'tiada babi' dia pergi juga. Terpulang," kata Mohd Zulkifli ( kiri ).

Bagi Sharifah Nurhidayah Alqadry pula, beliau bersetuju sekiranya pihak kerajaan mengambil tindakan terhadap kedai yang tidak memaparkan logo halal sebaliknya hanya meletakkan 'tiada babi'.

Katanya ia bagi memberi kemudahan untuk umat Islam bagi membezakan sama ada sesebuah kedai mempunyai babi atau tidak.

"Saya setuju ambil tindakan kalau kedai tak ada tanda halal sebab kita boleh bezakan mana yang tak hidangkan babi," katanya.

Pendapat itu turut dikongsi oleh Sharifah Nurhidayah Hamzah, 25, yang menganggap logo halal itu bagi memudahkan umat Islam tidak tertipu.

Walaupun tanda 'bebas babi' itu tidak mengelirukan namun beliau khuatir sekiranya terdapat pihak yang 'tertipu' dengan tanda sedemikian.

"Penting ada tanda halal sebab kita tak tahu kalau orang tipu kita, jadi pentinglah. (Tapi) ia terpulang pada orang juga. Sesetengah orang tengok ada 'tiada babi' dia pergi juga. Terpulang," katanya.

Isu mengenai logo halal serta 'bebas babi' timbul selepas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan supaya tindakan diambil terhadap premis makanan yang mempamerkan tanda 'bebas babi' kerana didakwa mengelirukan umat Islam.

Premis yang mempamerkan 'bebas babi' juga kata Asyraf, seolah-olah menunjukkan ia berstatus halal.

Cadangan itu turut mendapat sokongan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Korporat dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang berpendapat tanda 'bebas babi' jika dibiarkan boleh memecahbelahkan keharmonian rakyat pelbagai kaum, agama dan bangsa di negara ini.

Jakim pula berkata, logo Halal Malaysia adalah panduan terbaik bagi semua pengguna terutamanya umat Islam dalam memilih premis makanan.

Justeru itu Ketua Pengarahnya Datuk Othman Mustapha menasihatkan pengguna supaya bijak dan peka dalam membuat pilihan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS