Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot menyangkal dakwaan bahawa negara ini akan membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh.
Bercakap pada satu sidang akhbar hari ini, Richard berkata persepsi itu adalah "tidak betul".
Sebaliknya, angka 1.5 juta pekerja Bangladesh itu sebenarnya bilangan mereka yang telah mendaftar untuk bekerja di 139 negara seluruh dunia.
"Jumlah pekerja asing yang dibawa masuk ke negara ini adalah berdasarkan permintaan dan majikan yang mahu memohon pekerja asing ini perlu memohon secara online melalui Sistem Pengurusan Pekerja Bangladesh.
"MoU semalam mengandungi syarat yang lebih ketat mengenai pengambilan pekerja Bangladesh termasuk dari segi rekod jenayah dan saringan kesihatan, bagi tempoh lima tahun. MoU semalam juga tidak mengandungi apa-apa angka," katanya.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/125991
Memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani semalam oleh Malaysia dan Bangladesh, katanya, adalah seperti mana-mana MoU lain.
Apabila diberitahu yang Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah orang yang mengumumkan angka itu, Richard berkata beliau lebih suka "berpegang kepada jawapannya".
Katanya, beliau berpegang kepada jawapannya bahawa angka 1.5 juta itu sebenarnya bilangan pekerja Bangladesh yang mendaftar.
Menurut Richard, jumlah pekerja asing di negara ini tidak boleh melebihi 15 peratus daripada tenaga kerja yang diperlukan.
Ketika ini, negara mempunyai 2.1 juta pekerja asing berdaftar dengan 282,287 pekerja adalah daripada Bangladesh.
