PAS Negeri Sembilan terima aduan ahli mengenai Kohilal
Ahli PAS di Negri Sembilan yang mengalami kerugian selepas melaburkan dalam Koperasi Al-Hilal (Kohilal) kini boleh membuat aduan mengenainya kepada ketua kawasan masing-masing.
Pesuruhjaya PAS negeri, Dr Rosly Yaakob memberitahu malaysiakini , beliau sudah mengarahkan semua ketua kawasan supaya menerima aduan tersebut mulai Ahad lalu.
Langkah itu bertujuan untuk mengekang hakisan kepercayaan di kalangan ahli parti yang kerugian selepas melabur sebahagiannya membabitkan jumlah yang besar dalam Kohilal di antara tahun 1996 dan 1999.
Kepimpinan PAS negeri bimbang rasa tidak puashati di kalangan ahli yang mengalami kerugian itu, boleh menjejsakan keyakinan mereka terhadap pucuk kepimpinan parti itu.
"Kami tidak mahu mereka merasa seolah-olah kami (pemimpin PAS) tidak mengendahkan masalah mereka, terutama mengenai (kerugian) pelaburan dalam Kohilal," kata Rosli yang berkelulusan di bidang ekonomi.
"Jika kita tidak pedulikan masalah mereka, mereka mungkin merasa kecewa dan ini boleh mendorong mereka meninggalkan parti. Ini satu cara yang kita mahu menunjukkan kita ambil berat masalah mereka. Jika Kohilal menjadi masalahnya, kita akan melakukan apa yang terdaya untuk membantu," katanya.
Elak fitnah
Menurut Rosly, terdapat ramai ahli PAS di Negeri Sembilan yang melabur dalam Kohilal, tetapi beliau menjangka akan menerima hanya 60 aduan, dari mereka yang masing-masing melabur di antara RM5,000 dan RM10,000.
"Saya rasa yang ada yang tidak mahu membangkitkan perkara tersebut kerana bimbang ianya akan memburukkan nama parti dan pemimpinnya. Yang lainnya mungkin telah menerima pulangannya dan berpuashati dengannya," katanya.
Beliau berkata, sebahagian besar pelabur terbabit terdiri daripada golongan berpendapatan sederhana, termasuk guru, kakitangan kerajaan dan perkeranian.
"Mereka adalah golongan yang biasanya tidak menggunakan wang simpanan mereka untuk melabur. Mereka berbuat demikian (pada masa itu) kerana mereka yakin dengan Kohilal dan merasakan ia boleh dipercayai," kata Rosly.
"Bagi mereka, jumlah wang yang dilaburkan itu banyak. Mereka hanya mahu tahu yang wang mereka selamat dan boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mereka memerlukannya," katanya.
Menurutnya, PAS Negri Sembilan akan menyenaraikan aduan tersebut, walaupun ada pimpinan parti itu yang pernah terbabit dengan pengurusan Kohilal.
Katanya, senarai aduan tersebut akan diserahkan kepada pihak pengurusan koperasi tersebut untuk tindakan mereka.
Ditanya sama ada beliau menyedari tindakannya itu boleh menimbulkan rasa 'tidak senang' di kalangan pemimpin tertinggi PAS, Rosly berkata, tugas parti itu bukanlah untuk melindungi mana-mana individu.
"Tugas PAS ialah menyatakan kebenaran. Kita tidak berjuang untuk kepentingan mana-mana individu, tetapi untuk kebaikan parti keseluruhannya. Saya tidak fikir ahli-ahli atau pemimpin yang komited, akan menganggapnya sesuatu yang salah untuk dilakukan," tambahnya.
Sahkan kebenarannya
Sebaliknya, kata beliau, tindakan merekod aduan-aduan itu akan dapat memberhentikan penyebaran 'khabar angin dan fitnah' di kalangan ahli-ahli parti.
"Kita mendengar di sana sini orang bercakap ada sesetengah pemimpin tidak menguruskan kohilal dengan baik. Kita juga dengar ada orang yang rugi besar, tetapi siapa mereka.
"Ini menyukarkan kita untuk mengesahkan kebenaranya. Jadi, kali ini kami mahu merekodkan segala-galanya. Apabila tuduhan dibuat, ia perlu disokong dengan dokumen-dokumen yang sempurna. Perkara yang mahu kami elak sama sekali ialah penyebaran fitnah," katanya.
Isu mengenai salah pengurusan Kohilal ditimbulkan berulangkali sewaktu mesyuarat parti serta dalam konvensyen khas PAS baru-baru ini.
Para perwakilan melahirkan kekecewaan mereka kerana pemimpin-pemimpin yang bertanggungjawab mengurus koperasi itu ketika ia mengalami kerugian, masih belum tampil mengakui kesalahan mereka.
Berikutan kerugian itu, lembaga pengarah Kohilal yang dipengerusikan oleh Senator Hassan Shukri telah meletakkan jawatan beramai-ramai pada bulan Jun 2002. Hassan menjadi pengerusi Kohilal sejak tahun 1996. Beliau kini merupakan Timbalan Presiden PAS.
Apabila diberitahu, lembaga pengarah koperasi itu sekarang tidak mahu bertanggungjawab terhadap kegagalan pelaburan tersebut, Rosly berkata:"Saya pasti terdapat kesinambungan pengurusan antara lembaga pengarah sebelumnya dan yang ada sekarang. Ini diperuntukkan oleh undang-undang,' katanya.
Beliau juga terperanjat apabila diberitahu bahawa lembaga pengarah sebelum ini telah meletakkan jawatan beramai-ramai tahun lalu, kerana menurutnya, ia tidak seharusnya dibenarkan oleh Jabatan Pembangunan Koperasi.
"Jika ini benar, maka jabatan tersebut tidak melakukan tugasnya dengan baik. Saya tahu perjalanan koperasi kerana sebagai saya pernah menjaga unit koperasi di Bank Negara. Jika mereka bertanggungjawab terhadap kesilapan tersebut, kita boleh menyaman mereka. Kita akan dalami perkara tersebut," tambahnya.