Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ahli MT Umno mahu Muhyiddin disingkir jika enggan berundur
Diterbitkan:  Feb 22, 2016 4:24 PM
Dikemaskini: 12:17 PM

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Nazri Aziz akan membuat cadangan pada mesyuarat tertinggi (MT) parti akan datang agar Tan Sri Muhyiddin Yassin disingkirkan daripada parti itu jika enggan melepaskan jawatan secara sukarela.

Ini katanya, berikutan serangan berterusan Muhyiddin yang dianggap melampau ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga adalah presiden Umno.

“Beliau kena ingat bahawa beliau bukan ahli biasa. Beliau adalah timbalan presiden.

“Mengikut perlembagaan parti, beliau sepatutnya membantu presiden.

“Bagaimanapun, saya berpendapat kali ini beliau sudah melampau,” kata Nazri yang juga adalah menteri pelancongan yang dipetik portal The Star Online.

Beliau juga mahu parti itu bertindak keras ke atas Muhyiddin kerana lantang membidas pemimpin Umno secara terbuka.

Menurut Nazri Muhyiddin juga seharusnya berundur jika tidak lagi boleh bekerja dalam satu pasukan.

"Jika beliau fikir dirinya (adalah) betul, beliau sepatutnya letak jawatan dan lawan secara terbuka.

"Saya fikir tindakannya kali ini agak keterlaluan,” katanya yang dipetik portal itu.

Muhyiddin pada Sabtu lalu ketika berucap pada satu majlis di Port Dickson mengingatkan MT Umno supaya jangan sekali-kali berani untuk mengambil tindakan terhadapnya jika tidak mempunyai bukti.

"Saya nak ingatkan setiausaha agung dan semua yang berada di atas, jangan berani-berani mahu ambil tindakan ke atas saya melainkan cukup bukti menyatakan apa saja yang saya lakukan salah dari segi pandangan dan perlembagaan," katanya.

Mengulas kenyataan Muhyiddin itu, Nazri berkata timbalan presiden Umno itu sejak kebelakangan ini gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik.

Malah, katanya, Muhyiddin juga mencabar Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor supaya bertindak ke atasnya.

"Umno sudah mempunyai bukti yang cukup untuk mengenakan tindakan terhadapnya, cuma beliau sahaja yang tidak sedar.

"Antara buktinya, beliau secara terang-terangan cuba untuk menjatuhkan presiden parti, sedangkan sebagai pemimpin nombor dua dalam parti, dia bertanggungjawab untuk membantu perjalanan parti," katanya.

Muhyiddin digugurkan daripada jawatan timbalan perdana menteri pada Julai 2015 selepas menyuarakan pandangan kritikal terhadap operasi 1MDB dan ‘derma’ RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadi Najib.

Lihat Komen
ADS