Thaksin: Msia tahan pejuang pemisah paling dikehendaki di Thailand

   

Pejuang pemisah yang paling dikehendaki di Thailand telah ditangkap di Malaysia dan negara jiran itu akan mendapatkan perintah ektradisi untuk membawanya balik untuk di dakwa di sana, kata Perdana Menteri Thai, Thaksin Shinawatra hari ini.

Pihak berkuasa mendakwa Doramae Kuteh, yang juga dikenali sebagai Chae Kumae Kuteh, merupakan perancang rompakan depoh senjata kerajaan pada 4 Januari 2004 yang mencetuskan kekacauan di wilayah selatan Thai yang majoriti penduduknya beragama Islam, yang mengakibatkan 570 orang terkorban.

"Sudah pastinya kami mahu dia diektradisi balik ke sini kerana dia terbabit dalam banyak kejadian. Dia merupakan perancang sebenar (kekacauan), termasuk rompakan senjata milik kerajaan tahun lalu," kata Thaksin kepada pemberita.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai bagaimana dan bila Chae ditangkap, tetapi mengesahkan dia ditangkap seorang diri dan kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Malaysia, yang membolehkan seseorang itu ditahan tanpa dibicarakan kerana mengancam keselamatan negara.

"Kami sedang bekerjasama dengan pihak Malaysia untuk mengesahkan kerakyatannya, tetapi di peringkat awalnya kami akan terbabit dalam siasatan itu, dan kami sedang memeriksa bukti-bukti serta kerakyatan Thainya," tambahnya.

Doramae Kuteh dikehendaki kerana terbabit merancang pembunuhan dan menghasut pergerakan gerila, dan ditawarkan pampasan lima juta baht (kira-kira AS US$130,000) untuk menangkapnya.

Seorang lagi mahu serah diri

Menurut Thaksin, seorang lagi pejuang pemisah yang dikenali sebagai Sapae-ing telah menghubungi pihak berkuasa Thailand.

"Sapae-ing telah menghubungi pihak berkuasa untuk menyerah diri, tetapi dengan syarat dia dibenarkan ikatjamin. Selepas pilihanraya nanti, saya akan ke wilayah selatan untuk mengawasi sendiri gerakan dilancarkan," katanya.

Kedua-dua perkembangan terbaru itu berkemungkinan besar akan memperbaiki lagi keadaan di wilayah yang sedang bergolak itu menjelang pilihanraya pada 6 Februari ini.

Pasukan keselamatan telah berhempas pulas untuk menamatkan gerakan pemisah Islam di wilayah tersebut yang tercetus selepas serbuan dibuat pada bulan Januari.

Kekacauan itu berlaku hampir setiap hari membabitkan serangan ke atas anggota polis dan tentera, pembunuhan pegawai kerajaan dan guru-guru di sekolah kerajaan. Sami Buddha dan penduduk kampung juga turut dibunuh.

Ia turut menimbul ketegangan dengan Malaysia apabila Thaksin mendakwa Disember lalu yang pejuang pemisah Thai menjalani latihan di kawasan hutan negara ini. Thaksin bagaimanapun menarik balik tuduhan itu, serta mendakwa ianya telah diputarbelitkan oleh pihak media.

- AFP

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In