Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata sekiranya terdapat bukti bahawa penggunaan ganja adalah perlu untuk perubatan, ia seharusnya digunakan di bawah seliaan pegawai perubatan.
Bagaimanapun, katanya polis membantah membenarkan penggunaan ganja di negara ini kerana akan digunakan sebagai platform kepada pengguna beralih kepada dadah yang lebih berbahaya.
"Pada pandangan saya belum masanya sikap liberal diambil... Kita tahu masih ramai anak muda menyalahgunakan ganja.
"Mereka gunakannya untuk platform berhijrah kepada dadah yang lebih keras," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis di Bukit Aman, hari ini.
Mengulas dakwaan sesetengan pihak bahawa penggunaan ganja adalah untuk perubatan, Khalid berkata jika ia benar ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya tetapi perlu dibuat dengan cara yang betul.
"Morfin pun digunakan untuk perubatan, tapi dengan kawalan ketat. Kalau benar ganja (ada kualiti) perubatan ia mesti dibuat secara betul," katanya.
Menurut Khalid, setiap agama dinegara ini tidak membenarkan penganut mereka untuk menggunakan ganja.
“Dari segi agama, menyalahi agama semua agama tak benarkan umatnya (ambil ganja),” katanya.
Isu penggunaan ganja menjadi hangat apabila pada perbahasan usul memperbaiki undang-undang berkaitan dadah pada sesi Parlimen Belia 17 Februari lalu, wakil Selangor Muhamad Ridhwan Muhamad Rosli mencadangkan kerajaan memperhalusi dasar pengharaman ganja.
Katanya, pengharaman itu perlu mengikut situasi semasa dengan melihat kegunaan ganja daripada aspek positif, khususnya daripada bidang perubatan.
Beliau juga mencadangkan agar penggunaan ganja dikaji semula dan mendakwa bilangan penagih dadah dapat dikurangkan jika kerajaan mempertimbangkan untuk menyelia penggunaan bahan itu.
Saranan itu kemudian disokong pelbagai pihak termasuk Persatuan Pengasih Malaysia yang mencadangkan supaya kerajaan mengkaji semula kesalahan pengambilan ganja kerana kesalahan itu tidak termasuk dalam Akta Dadah Berbahaya.
