Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini menafikan laporan bahawa seorang lelaki diculik di Kelantan baru-baru ini menggunakan kereta yang didaftarkan di bawah namanya.
Katanya, polis akan menyiasat kes dakwaan penculikan itu dan juga penyebaran maklumat palsu mengenai pembabitan pihak polis.
“Ada pula orang itu hilang kita pula dituduh, kerja kita larikan orang ke. Jangan buat tuduhan melulu.
“Kita buka siasatan tuduhan larikan dia dan kita buka siasatan kerana ada fitnah kononnya polis yang culik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis di Bukit Aman, Kuala Lumpur, pagi ini.
Portal Berita Daily semalam melaporkan Setiausaha PKR Cabang Kelana Jaya S Murali mendakwa bahawa nombor plat kereta yang digunakan dalam penculikan tersebut didaftarkan di bawah nama Khalid.
Mengulas lanjut, Khalid berkata, semua kereta polis didaftarkan di bawah namanya.
“Semua kereta polis yang didaftarkan atas nama saya jadi kita akan panggil dulu dan bagaimana dia (S Murali) dapat gambar yang kononnya (kereta polis) melarikan orang.
“Sebelum ini ada laporan tukar nombor plat, jangan buat tuduhan melulu tidak berasas, ia akan beri kesan tak baik kepada negara,” katanya sambil memberi jaminan kes penculikan itu akan disiasat.
Mdalam laporan polis yang dibuat di balai Sungai Buloh, pada 19 Februari lalu, bapa mangsa T Arumugam, 53 mendakwa anaknya, A Sivarugu diculik oleh beberapa orang yang tidak dikenali.
Menurut laporan itu, Arumugam berkata seorang rakan Sivaguru yang bernama Sidek menelefonnya lebih kurang jam 3 petang dan memberitahunya bahawa anaknya diculik oleh empat orang lelaki di Jeli, Kelantan.
Arumugam turut melaporkan bahawa penculik mempunyai pistol dan memaksa Sivaguru masuk ke dalam kereta berwarna hitam yang didaftarakan atas nama Khalid.
