Debat: PAS setuju semua syarat Umno

Muda Mohd Noor        

PAS setuju menerima semua syarat yang ditetapkan oleh Umno Terengganu untuk mengadakan debat terbuka mengenai isu cukai pintu di negeri tersebut pada minggu pertama bulan Mac ini.

Sehubungan ditu, Ketua Penerangan PAS Terengganu, Yahya Ali meminta Umno Terengganu menemui pihaknya bagi berbincang dan menetapkan tempat, tarikh, wakil pendebat dan format yang mahu digunakan.

"Mereka boleh datang bila-bila masa kerana PAS tidak mengenakan sebarang syarat. Selagi Umno tidak datang dan berunding, maka masalah ini tidak akan selesai dan tentu sekali debat tidak dapat diadakan," katanya.

Mengulas keputusan Umno untuk mengadakan debat tersebut di Kompleks Seri Iman, Bukit Besar Kuala Terengganu pada awal Mac ini, Yahya berkata: "PAS bersetuju dengan apa juga format yang Umno mahu guna dalam debat tersebut...bagi kita yang penting debat itu menjadi kenyataan kerana rakyat sedang menunggunya.

"Bagi PAS, di mana tempat mahu diadakan, siapa wakil, siapa pengerusi debat tidak menjadi persoalan kerana kita bila-bila masa sedia menyahut cabaran Umno tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada masa yang sama, Yahya yang juga bekas Exco Kerajaan Terengganu mendakwa Ketua Penerangan Umno negeri, Ahmad Shabery Chik cuba melengah-lengahkan debat ini kerana beliau lebih banyak bercakap kepada pihak lain (media massa) daripada membuat kerja.

Menurutnya, sikap Ahmad Shabery yang bercakap kepada media massa, tidak akan membantu menyelesaikan masalah, malah mungkin menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat.

Beliau berkata, PAS sudah memulakan langkah untuk menjayakan debat tersebut dengan mengadakan perbincangan dengan Umno beberapa minggu lalu.

PAS kesal kenyataan MB

Bagaimanapun, perbincangan tersebut tidak mendapat kata putus kerana ketika itu Ahmad Shabery, yang juga Ahli Parlimen Kemaman, dikatakan berada di luar negara.

Mengenai Ahmad Shabery supaya bekas Exco Kerajaan PAS Terengganu, Datuk Wan Mutalib Embong menjadi ahli panel PAS dalam debat tersebut, Yahya berkata, beliau (Ahmad Shabery) dan mana-mana pemimpin Umno tidak boleh menentukan wakil PAS.

"Itu hak PAS sama ada memilih Wan Mutalib sebagai wakilnya atau tidak. PAS sesekali tidak pernah menentukan calon Umno," tambahnya.

Yahya juga terkilan dengan kenyataan Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh yang mendakwa debat itu tiada kena mengena dengan kerajaan negeri, sebaliknya hanya melibatkan Ahmad Shabery dan PAS.

"Idris tidak sepatutnya membuat kenyataan sedemikian kerana beliau sebagai ketua kerajaan negeri dan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, perlu bertanggungjawab ke atas kejayaan debat ini," katanya lagi.

Mengenai kenyataan Idris bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS tidak hadir persidangan dewan pada sebelah petang ketika wakil kerajaan memberi jawapan mengenai cukai pintu, Yahya berkata, perkara itu berlaku kerana wakil PAS tidak diberi peluang untuk berucap.

Semalam, Ahmad Shabery berkata, Umno Terengganu mahu debat tersebut diadakan di Kompleks Seri Iman, Bukit Besar Kuala Terengganu awal Mac ini.

Menurutnya, debat itu sukar diadakan pada bulan ini (Februari) memandangkan kesibukan menghadapi perayaan Tahun Baru Cina serta Konvensyen Umno Terengganu pula akan diadakan pada 25 dan 26 Februari ini.

Umno mahu Wan Mutalib

Perhubungan Umno Terengganu telah mengadakan mesyuarat bagi berbincang mengenai debat tersebut, dengan dipengerusikan oleh Setiausaha Perhubungan Umno negeri, Rosol Wahid.

Semalam, Ahmad Shabery berkata, Umno Terengganu menyokong debat tersebut diteruskan dan beliau membuat persiapan supaya ia berjalan dengan penuh kesopanan. Mesyuarat itu juga memutuskan Ahmad Shabery dan Exco bagi Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Ahmad Said mewakili Umno di debat tersebut.

Ahmad Shabery juga meminta PAS memilih Datuk Wan Mutalib Embong sebagai wakilnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai bekas Exco Kerajaan Tempatan semasa PAS memerintah Terengganu.

Manakala formatnya pula, kata beliau, adalah seperti pendebatan calon Presiden Amerika Syarikat iaitu wakil PAS dan wakil Umno berada di atas pentas, manakala penyokongnya bebas bertanya wakil berkenaan.

Isu debat ini tercetus apabila Ahmad Shabery mendakwa PAS Terengganu memutarbelitkan soal cukai pintu untuk memburuk-burukkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri.

Beliau juga mendakwa PAS mahu mengadakan demonstrasi dan menaikkan sepanduk di seluruh negeri bagi membantah tindakan Kerajaan Terengganu mengenakan semula cukai pintu mulai tahun ini.

Semalam, Yahya dilaporkan sebagai berkata, PAS mahu Umno Terengganu segera menetapkan tarikh pertemuan kali kedua antara kedua-dua parti itu bagi memastikan debat mengenai isu cukai pintu menjadi kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya telah menghubungi pejabat Perhubungan Umno Negeri beberapa hari lalu tetapi mendakwa tiada usaha bersungguh-sungguh dari Umno untuk mengadakan pertemuan kali kedua itu.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In