Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umpamakan Muhyiddin 'anjing', Umno Pagoh kutuk Nazri
Diterbitkan:  Feb 25, 2016 11:46 AM
Dikemaskini: 8:04 AM

Kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Aziz yang mengumpamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti 'anjing' amat mengguris hati akar umbi Umno dan bangsa Johor, kata Ketua Umno Pagoh Mohd Zaid Abd Rahman.

Mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan itu, Mohd Zaid berkata Pemuda Umno Pagoh mahu Nazri memohon maaf secara terbuka terhadap timbalan presiden Umno itu.

"Apa yang menjadi kemusykilan, bagaimana seorang pemimpin yang berjawatan menteri boleh mengeluarkan kenyataan yang menjijikkan sedemikian rupa.

"Kita percaya bukan kami sahaja yang marah dan terhina dengan kenyataan menjijikkan itu, tapi Bangsa Johor keseluruhannya juga rasa terhina," ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Nazri baru-baru ini mengumpamakan tindakan Muhyiddin sejak kebelakangan ini ibarat ‘anjing yang sibuk menggigit kaki’ sehingga menyukarkan parti itu melaksanakan tanggungjawabnya.

Beliau juga dilapor mahu membawa cadangan kepada jawatankuasa disiplin parti pada mesyuarat MT Umno akan datang agar Muhyiddin digantung daripada jawatannya sebagai timbalan presiden parti.

Mengulas lanjut, Mohd Zaid berkata masalah dalam Umno bukan berpunca daripada Muhyiddin sebaliknya daripada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang juga perdana menteri.

"Bagi kami Muhyiddin adalah pemimpin berjiwa besar walaupun digugurkan daripada kerajaan dan dilayan dengan amat buruk sebagai timbalan presiden Umno, tetapi beliau tidak pernah menghasut supaya kita bangkit menentang presiden.

"Namun apa yang berlaku mutakhir ini dan penghinaan yang melampau terhadap beliau adalah suatu perkara yang tidak boleh diterima dan dimaafkan.

"Ini menjadi titik noktah kesabaran kita," ujarnya.

MT akan dihukum generasi Umno akan datang

Sementara itu Timbalan Ketua Umno Bahagian Pagoh Ismail Mohamed berkata Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno akan dihukum generasi akan datang jika membawa cadangan agar Muhyiddin digantung daripada jawatannya sebagai timbalan presiden parti.

“Kita faham, kini Umno dah jadi milik eksekutif MT dan suara akar umbi tidak lagi diterima pakai.

“Mereka boleh buat apa sahaja buat masa ini dan mereka lupa, suatu hari nanti mereka akan dihukum oleh generasi akan datang di mana zaman MT ini telah menjadi perosak kepada Umno,” katanya kepada Malaysiakini.

Mengulas lanjut Ismail berkata keputusan itu juga akan menyebabkan Johor akan kerugian kerana kehilangan seorang pemimpin di peringkat pusat.

“Walaupun pahit untuk orang Pagoh terima tapi kami sayang pada Umno kerana Umno lahir di Johor malahan lahir di Istana Johor.

“Ahli MT yang bukan dari Johor atau yang segelintir dari Johor mungkin tak sekental kami yang dari Umno Johor. Melayu itu Umno dan Umno itu Melayu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS