Kerajaan sahkan penangkapan militan Islam Thai
Malaysia mengesahkan penangkapan lelaki yang didakwa oleh Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai perancang utama keganasan pejuang pemisah Islam di wilayah selatan negara itu.
Timbalan Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri, Datuk Noh Omar berkata, lelaki tersebut ditangkap pada 5 Januari lalu dan kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Menurutnya, lelaki itu dikenalpasti sebagai Abdul Rahman Ahmad, atau dikenali sebagai Deraman Koteh. Menurut Thaksin, lelaki itu bernama Doramae Kuteh, juga dikenali sebagai Chae Kumae Kuteh, dan kerakyatannya sedang disemak.
Noh bagaimanapun enggan berkata sama ada lelaki tersebut ditangkap kerana disyaki menjadi ketua pejuang pemisah Islam yang dituduh menimbulkan keganasan di Thailand yang menyebabkan 570 terkorban tahun lalu.
"Semuanya sedang disiasat," kata Noh sepertimana yang dilaporkan oleh media tempatan hari ini.
Saluran diplomatik
Rabu lalu, Malaysia mengkritik Thaksin apabila memberitahu pemberita yang beliau mahu lelaki tersebut diekstradisikan dari Malaysia, kerana beliau sepatutnya menggunakan saluran diplomatik.
"Ini bukan caranya untuk bekerjasama antara satu sama lain," kata Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar dalam satu sidang akhbar.
"Apa juga pun yang perlu dilakukan, terdapat saluran yang betul antara Malaysia dan Thailand," katanya.
Ini bukanlah kali pertama Thaksin membuat kenyataan yang mengenai pergerakan puak militan Islam Thailand di sempadan kedua-dua di mana ramai antara mereka mempunyai saudara di negeri-negeri yang bersempadan dengan negara itu.
Bulan lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menafikan laporan yang menuduh puak pemisah Islam Thailand dilatih di Malaysia dan menegur Perdana Menteri Thai itu kerana gemar membuat dakwaan 'sensasi' mengenai perkara itu.
Abdullah berkata, beliau kecewa kerana Thaksin tidak menggunakan saluran diplomatik untuk memaklumkan dakwaannya itu.
"Saya terkejut membaca mengenainya. Jika Thaksin mempunyai maklumat seumpama itu dan kita tidak tahu mengenainya, maka beliau sepatutnya memaklumkan kepada kita secara rasmi melalui saluran diplomatik," tegas Abdullah.
- AFP