Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerajaan sekat portal The Malaysian Insider
Diterbitkan:  Feb 25, 2016 9:28 AM
Dikemaskini: 10:54 AM

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) hari ini menyekat laman web berita The Malaysian Insider (TMI) atas alasan melanggar undang-undang negara.

"Laman sesawang ini tidak dapat diakses di Malaysia kerana kandungannya melanggar undang-undang negara," menurut maklumat kepada pelayar di web itu.

Semakan Malaysiakini setakat ini mendapati, laman itu tidak dapat dicapai melalui talian Celcom sahaja.

Masih belum jelas bila sekatan itu bermula. Malaysiakini mengesannya sekitar 4.45 petang ini.

Menurut maklumat SKMM, laman itu disekat bawah Seksyen 263(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana melanggar undang-undang.

Keterangan menyebut ia melanggar peruntukan seksyen 233 akta yang sama tetapi tidak menyebut kesalahan secara khusus.

Seksyen 233 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Ia berkaitan kandungan lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau menggangu orang lain.

Seseorang yang melakukan kesalahan bawah seksyen ini apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Pesalah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Jahabar Sadiq ketika dihubungi tidak mengulas lanjut kerana sedang meneliti perkara itu.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi pihak berkuasa, termasuk SKMM dan Menteri Kommunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkaitan sekatan itu.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari pada 12 Februari lalu mengingatkan bahawa portal berita dan laman web tidak terlepas daripada kawalan undang-undang, termasuk komen dan kenyataan pembaca.

Jailani berkata, sesebuah portal tetap perlu bertanggungjawab atas penyebaran bahan berunsur fitnah dan mencetuskan perbalahan.

Lihat Komen