Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata sekatan terhadap media atas talian tidak sama dengan sekatan pada web lucah.
Salleh berkata, ini kerana sekatan terhadap media dalam talian dibuat berdasarkan aduan orang awam.
"Memang disekat semua, tetapi bila kita sekat mereka (pengendali web lucah) buat yang lain.
“Sudah tentu kita akan meneliti semua dan pada dasarnya lucah atau perkara ekstremis itu sendirinya kita akan sekat.
“(Isu) media atas talian ini kita kena lihat jika ada aduan masyarakat," kata Salleh.
Beliau berkata demikian ketika berdepan soalan wartawan kenapa kerajaan menyekat portal berita The Malaysian Insider tetapi tidak sesetengah laman lucah di negara ini.
Salleh berkata demikian selepas melancarkan Karnival Karangkraf di Shah Alam, hari ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) semalam menyekat TMI kerana didakwa melanggar peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
Seksyen 233 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Ia berkaitan kandungan lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.
Suruhanjaya itu tidak menyatakan dengan jelas tulisan yang mendorong sekatan itu dibuat.
Bagaimanapun, polis akan menyiasat laporannya mengenai syor yang dikatakan dibuat Panel Penilaian Operasi (PPO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengerusi panel itu Hamid Bugo malam tadi menafikan pihaknya percaya terdapat bukti cukup untuk mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kes kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaunnya serta siasatan kes SRC International.
Sementara itu, mengulas isu kebebasan bersuara, Salleh berkata pihaknya tidak mempunyai masalah jika ada sesetengah pihak yang tidak bersetuju serta tidak sependapat dengan kerajaan.
"Kita tidak ada masalah dengan kebebasan bersuara. Kita boleh menerima cadangan.
"Banyak laman web yang kritik kerajaan. Itu tidak ada masalah.
“ Sinar Harian pun pandangan berbeza. Kami tidak mengawal pandangan anda tetapi perlu berhati-hati," tegasnya.
