Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri sahkan artikel 'dakwa Najib' antara punca TMI disekat

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak hari ini mengesahkan sekatan terhadap laman web portal The Malaysian Insider (TMI) adalah berkaitan artikel mengenai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Ya, salah satu artikel memetik kenyataan panel (penilaian operasi SPRM) yang mengelirukan kerana bercanggah dengan kenyataan rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia," kata Salleh ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Karnival Karangkraf, di Shah Alam hari ini.

Artikel bertajuk “Cukup bukti dakwa Najib isu SRC International, kata panel SPRM” yang disiarkan pada 25 Februari lalu memetik seorang ahli panel penilaian operasi suruhanjaya berkenaan yang tidak dinamakan.

Bagaimanapun, pengerusi panel itu, Tan Sri Hamid Bugo dalam satu kenyataan malam semalam, menafikan pihaknya percaya terdapat bukti cukup untuk mendakwa Najib seperti yang dilaporkan.

Namun, kenyataan itu hanya ditandatangani oleh dua daripada lapan anggota panel iaitu Hamid sendiri selaku pengerusi dan seorang lagi anggota panel iaitu Datuk Seri Mohamed Jawhar Hassan.

Siasatan bebas dijalankan

Ketika ditanya berapa lama tempoh sekatan tersebut akan diambil Salleh berkata menteri tidak mencampuri urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam membuat keputusan.

Sebaliknya, beliau berkata SKMM akan memaklumkan pihaknya mengenai tindakan yang boleh dilaksanakan terhadap TMI selepas siasatan penuh selesai.

"SKMM bekerja dengan bebas. Mereka ada panel penyiasat dan bekerja rapat dengan polis. Mereka hanya maklumkan keputusan yang akan diambil.

"Menteri tidak buat keputusan," kata Salleh.

Menurut bekas Ketua Menteri Sabah itu, SKMM mengenakan sekatan akses kepada TMI kerana ia memang diperuntukkan oleh akta sedia ada.

Namun, katanya, ia tidak diambil sewenang-wenangnya tetapi selepas aduan berkenaan disiasat.

"Setiap ada aduan kita akan siasat. Kita bukan sewenang-wenangnya sekat. Ada siasatan awalnya. Jika siasatan awal kita tidak lihat kesalahan, kita tidak berbuat demikian.

"Kita perlukan siasatan penuh SKMM supaya tindakan boleh diambil. Itu prosedurnya," katanya ketika mengulas sama ada blog milik bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di www.chedet.cc akan berdepan tindakan sama kerana mengkritik Najib.

Tidak bebas memusnahkan

Ketika ditanya jika ada portal lain yang akan dikenakan tindakan selepas TMI, Salleh enggan menjawab sebaliknya berlalu meninggalkan wartawan.

Sementara itu, Salleh berkata meskipun negara ini mengamalkan kebebasan bersuara, namun kerajaan tidak akan membenarkan berlakunya "kebebasan yang merosakkan".

"Bagaimana kita mengurus perbezaan? Perbezaan tidak boleh diurus tanpa (sikap saling) menghormati.

"Kita terikat dengan peraturan. Kita ada freedom of speech (kebebasan bersuara) tetapi tidak freedom to destroy (kebebasan untuk memusnahkan)," kata Salleh dalam ucapannya.

SKMM semalam menyekat laman web TMI atas alasan melanggar undang-undang negara seperti dipapar kepada pelayar di web berkenaan.

Menurut SKMM, laman itu disekat mengikut Seksyen 263(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana melanggar undang-undang.

Keterangan menyebut ia melanggar peruntukan seksyen 233 akta yang sama tetapi tidak menyebut kesalahan secara khusus.

Seksyen 233 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Sementara itu, TMI hari ini melaporkan bahawa satu laporan polis telah dibuat terhadap Salleh malam tadi atas dakwaan salah guna kuasa dalam menyekat laman web itu.

Laporan polis itu dibuat oleh seorang aktivis berusia 70 tahun Badaruddin Ismail di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Lihat Komen
ADS