Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tidak ada masalah untuk individu bukan Islam atau bukan mahram untuk menyambut salam yang dihulurkan, kata Prof Madya Dr Khadijah Hambali.

Ini kerana, menurut pensyarah kanan Jabatan Akidah dan Pemikiran Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya itu, berjabat tangan antara bukan mahram atau orang bukan Islam tidak melibatkan aspek najis.

Bagaimanapun, Khadijah ( gambar, kiri ) berkata tindakan menyambut salam itu haruslah dengan syarat ia dilakukan dengan niat kerana tidak mahu menjatuhkan air muka seseorang.

"Berjabat tangan (antara bukan Islam mahu pun bukan mahram) tak ada masalah, dan bukan najis pun. (Orang) bukan Islam (tarafnya) bukan najis dan kita boleh berjabat tangan.

"Bagaimanapun, (tindakan menyambut salam itu mestilah) dengan syarat kita tidak mahu menjatuhkan air muka seseorang itu, serta jangan pula ada rasa nafsu. Itu dah lain,” kata Khadijah kepada Malaysiakini .

Sementara itu penganalisis politik Dr Maszlee Malik ketika dihubungi Malaysiakini berkata isu menyambut huluran salam bukan mahram bagi menjaga air muka masing-masing adalah pilihan peribadi.

“Tak ada isu (bersalam dengan bukan mahram) itu pilihan masing-masing,” kata Maszlee yang juga pensyarah Universiti Islam Antarabangsa.

Letak tangan pada dada

Pada 23 Februari lalu Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuat naik satu klip video pendek dilihat menyindir pengkritiknya ekoran tindakan beliau bersalam dengan isteri pemain JDT, Safiq Rahim.

Video selama 16 saat itu dimuat naik di Facebook melalui akaun Johor Southern Tigers.

Dalam video tersebut memaparkan Tunku Ismail mengambil masa mengenakan sarung tangan berwarna hijau dibawa seorang pembantunya sebelum bersalaman dengan dua wanita berkenaan.

Bagaimanapun mengulas lanjut perkara itu, Khadijah berkata ada cara lebih baik untuk semua pihak - baik muslim mahu atau sebaliknya - untuk tidak berjabat salam.

“Kalau kita nak beritahu perbuatan itu (bersalaman antara bukan mahram) adalah dilarang, kita hanya perlu letak tangan kita di dada dan orang berkenaan akan faham.

"Silap kita (tidak memberi kefahaman), sedangkan kefahaman itu perlu. Kalau kita tak mulakan dulu mesti mereka akan menghulurkan salam.

“Kita kena beri mereka (orang yang menghulur salam) kefahaman untuk mengelak berlaku salah faham,” tambah Khadijah.

Bagaimanapun, menurut bekas Mufti Terengganu, Datuk Ismail Yahya dalam hukum Islam berjabat tangan atau bersalaman mahu pun bersentuhan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram adalah haram.

Justeru, katanya, semua pihak harus berpegang kepada hukum Allah itu.

“Kalau ikut hukum asal memang tak boleh bersentuhan atau bersalaman antara lelaki dan wanita yang halal untuk dinikahi

“Tidak ada pengecualian dalam isu ini,” tegas Ismail yang juga bekas Ketua Hakim Syarie Terengganu itu kepada Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS