Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar akan mengurniakan sebuah mesin imbasan "CT-Simulator" kepada Pusat Rawatan Onkologi, Hospital Sultan Ismail, di Johor Baharu, bagi memastikan lebih banyak pesakit kanser dapat menjalani rawatan radioterapi.
Baginda yang memaklumkan khabar gembira itu menerusi akaun Facebook rasmi baginda hari ini, bertitah pembelian dan pemasangan mesin moden itu akan menelan kos sebanyak RM3.6 juta.
Namun begitu, kos pemasangan, menurut baginda, akan ditanggung oleh Kementerian Kesihatan.
"Mesin “CT-simulator” itu adalah kritikal bagi rawatan radioterapi bagi pesakit kanser.
"Mesin yang sedang digunakan di hospital pada ketika ini telah mula digunakan secara aktif dalam tahun 2004, setelah diperolehi pada tahun 1998.
"Bagaimanapun, memandangkan usia dan jangka hayatnya, mesin tersebut telah usang dan tidak boleh diharapkan serta kerap kali mengalami kerosakan beberapa tahun kebelakangan ini," titah baginda.
Sultan Ibrahim menambah, baginda mengetahui keuzuran mesin itu setelah disembah maklum oleh permaisuri baginda, Raja Zarih Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah, yang tertarik dengan kesusahan seorang pesakit yang ingin melakukan rawatan radioterapi sebelum ini tetapi diberitahu mesin CT-Simulator rosak.
Titah baginda, pesakit itu yang dikenali sebagai Yusnita, 21, berasal dari Pengerang dan mempunyai sebuah keluarga yang besar dan kurang berkemampuan.
Beliau juga merupakan pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
"Beliau telah menjalani pembedahan membuang tumor kanser, namun telah dimaklumkan kemudian bahawa masih terdapat sel kanser di sekitar kawasan di mana pembedahan telah dilakukan.
"Enggan lagi menjalani pembedahan, beliau sebaliknya telah memilih untuk menjalani radioterapi, tetapi telah diberitahu bahawa mesin “CT-simulator” tersebut rosak dan perlu diperbaiki, yang mana secara langsung melambatkan sesi radioterapi yang amat diperlukan oleh beliau selama beberapa bulan.
"Kami tahu bagaimana rasanya mempunyai seorang anak yang menderita daripada kanser, dan kami tahu dan memahami kedukaan serta kebimbangan yang dirasai oleh ibu bapa lain.
"Kami telah hilang anak lelaki kami, dan kami tidak mahu ibu bapa lain merasai penderitaan yang telah kami lalui, serta kesedihan yang kami rasakan sekarang dan perlu kami tanggung sepanjang hayat kami," titah Sultan Ibrahim.
Baginda bertitah, almarhum anakandanya Tunku Abdul Jalil juga pernah berangkat mengunjungi kemudahan onkologi itu pada 8 Mac tahun lalu dan menzahirkan kekhuatiran yang sama mengenai mesin terbabit.
- Bernama
