Muhyiddin digantung timbalan presiden

   

Tan Sri Muhyiddin Yassin digantung jawatan sebagai timbalan presiden Umno berkuat kuasa serta-merta.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata penggantungan Muhyiddin itu berkuat kuasa sehingga pemilihan parti akan datang.

Katanya, keputusan dibuat secara sepakat pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang ini.

Bagaimanapun katanya, jawatan lain Muhyiddin dalam parti masih kekal.

"Keputusan itu diambil selepas MT berpuas hati Muhyiddin gagal menjalankan tugasnya sebagai timbalan presiden mengikut fasal 9.8.1 Perlembagaan parti," katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu.

Muhyiddin tidak hadir dalam mesyuarat hari ini dan dikatakan berada di luar negara.

Tengku Adnan juga berkata memandangkan tiada pemangku jawatan timbalan presiden dalam perlembagaan parti, MT memutuskan supaya Naib Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjalankan tugas Muhyiddin sehingga pemilihan parti akan datang.

Umno terus mara

Menurutnya, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak yang juga adalah perdana menteri dan Zahid telah memohon meninggalkan mesyuarat MT itu kerana tidak mahu terlibat dalam perbincangan usul pergantungan itu.

"MT bersetuju permintaan kedua-dua pemimpin itu dan melantik Datuk Seri Hishammuddin untuk mempengerusikan sementara mesyuarat bagi membincangkan usul itu," katanya.

Hishammuddin pada sidang media yang sama berkata keputusan dibuat berdasarkan konsensus tadi diharap dapat membantu parti Melayu itu untuk terus mara.

“Hakikat bahawa keputusan telah dibuat oleh majlis tertinggi dan keputusan dibuat ini bersandarkan (kepada sebab) kita nak melihat ke hadapan (dalam) satu pasukan bagi berhadapan dengan rakyat.

“Dan harapan peribadi saya, dengan keputusan yang dibuat secara konsensus ini dapat membantu kita bergerak ke hadapan tanpa kita mempertikaikan gerakan-gerakan yang saya tengok penting ketika kita berhadapan dengan rakyat,” katanya kepada pemberita di lobi PWTC.

Muhyiddin sebelum ini digugurkan jawatan sebagai timbalan perdana menteri setelah lantang mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya.

Kuatkan cengkaman

Langkah itu dilihat sebagai gerak terbaru Najib menguatkan cengkamannya dalam parti setelah Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali membersihkan beliau daripada sebarang salah laku.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhkriz Mahathir, yang juga kritikal kepada pentadbiran Najib seperti bapanya, juga telah berjaya ditukar sebelum ini.

Seorang anggota MT Datuk Seri Nazri Aziz baru-baru ini mengumpamakan tindakan Muhyiddin kebelakangan ini “ibarat anjing yang sibuk menggigit kaki” sehingga menyukarkan Umno melaksanakan tanggungjawabnya.

Beliau sebelum ini berkata mahu membawa cadangan kepada jawatankuasa disiplin parti pada mesyuarat MT Umno hari ini agar Muhyiddin digantung jawatannya.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda