Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Ada konspirasi peringkat tinggi mahu jatuhkan Najib'

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Azalina Othman berkata adanya konspirasi peringkat tertinggi yang mahu menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam apa yang dikatakan sebagai rampasan proses demokrasi dan keputusan rakyat pada pilihan raya umum lepas.

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin mendakwa beliau diberi taklimat oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail apabila mereka masih menyandang jawatan masing-masing mengenai 'bukti' dakwaan jenayah terhadap Najib.

Beliau berkata tindakan peguam negara itu yang secara peribadi memberi taklimat dan berkongsi maklumat undang-undang sulit dengan Muhyiddin, ahli Kabinet dan anggota UMNO yang jelas mempunyai kepentingan, adalah tidak beretika.

"Hakikatnya peguam negara secara peribadi memberi taklimat dan berkongsi maklumat undang-undang sulit dengan (Tan Sri) Muhyiddin, ahli Kabinet dan ahli UMNO yang jelas mempunyai kepentingan, bukan sahaja tidak beretika tetapi juga melanggar Akta Rahsia Rasmi," katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Azalina berkata Muhyiddin bukan sahaja melanggar Akta Rahsia Rasmi tetapi juga bersubahat dalam satu konspirasi bermotifkan politik untuk memanipulasi dan menyalah guna sistem perundangan bagi menggulingkan Perdana Menteri yang dipilih secara demokratik.

Berdasarkan kenyataannya itu, Muhyiddin juga secara tidak langsung mempersoal kredibiliti peguam negara sekarang dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Azlina berkata Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada 26 Jan telah membersihkan Najib daripada sebarang salah laku berhubung wang derma.

"Jadi, jika mana-mana pihak tidak bersetuju dengan tindakan Peguam Negara dalam menjalankan pendakwaan, mereka tidak mempunyai sebarang asas untuk mencabarnya," katanya.

Azalina juga mempersoalkan mengapa Muhyiddin membuat pengakuan itu sekarang iaitu selepas beliau digantung jawatan sebagai timbalan presiden.

"Adakah tindakannya boleh dianggap sebagai bersubahat kerana beliau mendakwa mempunyai maklumat mengenai tindakan jenayah yang dikatakan dilakukan tetapi tidak melaporkan kepada pihak berkuasa sehingga hari ini," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS