Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Dua wakil rakyat Pulau Pinang - Ahli Parlimen Tanjong Ng Wei Aik dan ADUN Seri Delima RSN Rayer akan terus berhadapan dengan tuduhan di bawah Akta Hasutan.

Kes itu diteruskan meskipun tuduhan hasutan terhadap MP Kota Seputeh Teresa Kok dan ahli akademik, Prof Azmi Sharom digugurkan oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Rayer menghadapi dua tuduhan menghasut mengikut Seksyen 4 (1) b Akta Hasutan kerana didakwa mengeluarkan perkataan 'celaka' terhadap Umno di Dewan Undangan Pulau Pinang pada Mei 2014.

Beliau kemudian didakwa mengeluarkan perkataan yang sama terhadap Umno dalam ceramah di Bukit Gelugor pada bulan yang sama.

Ng dikenakan tuduhan terhadap artikel yang ditulisnya dalam akhbar berbahasa Cina pada Februari tahun lalu yang menyokong Ketua Pembangkang dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kes Rayer didengar oleh hakim-hakim Zulhazmi Abdullah dan Ibrahim Osman di Mahkamah Sesyen di George Town. Kedua-dua kes ditangguhkan kepada 11 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Peguam yang mewakili Rayer, Gobind Singh Deo membangkitkan bantahan awal bulan lepas untuk membatalkan pertuduhan menghasut oleh anak guamnya.

Gobind berkata, bantahan itu berdasarkan kepada Perkara 72 (2) Perlembagaan Persekutuan yang merujuk kepada kekebalan, dan jaminan perlindungan untuk wakil rakyat di dewan undangan negeri.

Beliau menegaskan bahawa pengecualian dalam Perkara 72 (4) yang menyatakan bahawa imuniti boleh dibatalkan jika ADUN mengeluarkan kata-kata hasutan.

Ketua Unit Pendakwaan Pulau Pinang, Datuk Razali Che Ani meminta masa untuk mengkaji bantahan. Pasukan pendakwaan masih menunggu jawapan daripada Peguam Negara.

Dalam kes Ng, Gobind berkata mereka akan memfailkan permohonan di mahkamah untuk mencabar kes itu.

Sementara itu Ibrahim menetapkan tarikh perbicaraan pada 25 dan 26 April.

Lihat Komen
ADS