Ramai bersedih dengan langkah drastik Tun Dr Mahathir Mohamad keluar Umno pada 2008, ketika beliau memprotes pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi lapan tahun lalu.
Bagaimanapun, kata MYKMU , web pendukung Datuk Seri Najib Razak, keadaan berbeza akan berlaku kali ini.
“Tiada lagi tangisan Umno untukmu, Tun Mahathir, seperti mana 2008.
“Pisang tidak berbuah dua kali,” menurut editorial laman itu sebagai reaksi kepada pengisytiharan keluar parti oleh Mahathir hari ini.
MYKMU bagaimanapun berkata jasa perdana menteri 22 tahun itu tetap akan dikenang dalam sejarah.
“Namun sejarah juga tampak akan berulang bahawa sebahagian besar pemimpin Umno (Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussien On) meninggal di luar Umno.
“Mungkin Tun hanya meneruskan tradisi dan takdir tersebut. Selamat tinggal Tun Mahathir.
“Ampun dan maaf kiranya ada salah silap dan terkasar bahasa kerana politik itu demikianlah adatnya. Semoga Tun pergi dengan tenang suatu hari nanti,” tulis MYKMU lagi.
MYKMU juga berkata pengumuman Mahathir tidak sangat mengejutkan dan menunjukkan “selama 22 tahun kita telah ditipu oleh beliau bahawa parti lebih penting dari pemimpin”.
Kata portal itu, setiap kali Umno berpecah atau Mahathir menyingkirkan mana-mana pemimpin, beliau akan mengulang “mantera bahawa parti lebih penting dari pemimpin” dan pemimpin datang dan pergi.
“Apabila menolak Pak Lah (Abdullah), Mahathir umum keluar Umno. Sekarang bila tidak suka Mohd Najib, Mahathir umum keluar Umno lagi.
“Jika parti Umno lebih penting dari pemimpin tentu Tun Mahathir tidak meninggalkan Umno kerana marahkan mana-mana pemimpin,” katanya.
MYKMU juga mendakwa, alasan itu hanya bertujuan mengekalkan dirinya di tampuk kuasa bukan kerana kepentingan agama, bangsa dan negara.
