Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
1MDB kata tak terbabit dengan AS$1b di akaun Najib
Diterbitkan:  Mar 1, 2016 3:16 PM
Dikemaskini: 8:29 AM

1MDB sekali lagi mengulangi bahawa firma pelaburan negara itu tidak pernah menyalurkan sebarang dana ke akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak susulan dakwaan terbaru The Wall Street Journal (WSJ) hari ini.

Akhbar itu dalam laporannya mendakwa deposit ke akaun Najib berjumlah lebih daripada AS$1 bilion, termasuk RM2.6 bilion yang perdana menteri dan pihak berkuasa Malaysia telah kenal pasti sebagai sumbangan politik dari Arab Saudi.

Ia juga mendakwa bahawa sebahagian besar wang AS$1 bilion itu berasal dari 1MDB, dan bukannya dari Arab Saudi.

"1MDB secara konsisten menegaskan bahawa ia tidak membayar apa-apa wang ke dalam akaun peribadi perdana menteri," katanya kepada Malaysiakini menerusi e-mel hari ini.

Menurut 1MDB, ini telah berulang kali dijelaskan oleh pelbagai pihak berkuasa di Malaysia, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara.

Di sebalik semua ini, 1MDB berkata WSJ terus mengulangi dakwaan sama tanpa menawarkan sebarang bukti bagi menyokong dakwaannya.

"Justifikasi mengenai serangan berterusan mereka adalah maklumat itu diperolehi daripada sumber yang tidak dinamakan dan tanpa nama.

"Bersandar kepada sumber tanpa nama, yang belum tentu wujud, pihak Wall Street Journal mengkhianati piawaiaan kewartawanan asas dan tersasar daripada membuat laporan yang seimbang," kata 1MDB.

1MDB yang diilhamkan Najib, secara konsisten menafikan bahawa ia membuat sebarang bayaran kepada Najib.

Firma pelaburan negara itu juga sedang disiasat atas dakwaan rasuah di beberapa negara, termasuk Switzerland, Singapura, Hong Kong dan Amerika Syarikat.

Najib berulang kali menafikan dakwaan bahawa beliau menerima wang daripada 1MDB dan mengecam laporan WSJ sebagai palsu dan berniat jahat.

Anggota jemaah menteri juga membidas WSJ berhubung laporan berkenaan.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali juga telah ‘membersihkan’ perdana menteri daripada sebarang salah laku jenayah berkenaan dengan sumbangan RM2.6 bilion dan wang RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.

Apandi juga berkata, sebahagian besar wang RM2.6 bilion itu telah dipulangkan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS