Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak menggesa warga maya supaya membezakan antara kebenaran, separuh benar, sindiran dan pembohongan.
Warga maya, katanya, tidak semestinya menganggap segala-galanya sebagai pendapat yang mereka bebas untuk mendukungnya.
Peringatan Salleh dibuat selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak juga turut menggesa pengguna internet untuk membezakan antara kebenaran, separuh benar, pembohongan dan pendapat sebelum mereka membuat sebarang kesimpulan mengenainya.
"Saya bersetuju dengan catatan blog perdana menteri kita itu - bahawa Internet adalah harta dikongsi yang dimiliki bersama oleh semua warga global, dan oleh itu kita mempunyai tanggungjawab untuk tidak menyalahgunakannya," kata Salleh dalam blognya semalam.
Kedua-dua kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat seseorang, kata Salleh, hendaklah dianggap sebagai satu keistimewaan, bukan hak mutlak.
"Dan keistimewaan, jika disalahgunakan, kadang-kadang boleh ditarik balik," katanya.
Sudah seminggu portal berita The Malaysian Insider (TMI) disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Portal berita itu masih tidak boleh diakses melalui penyedia utama perkhidmatan telekomunikasi.
Salleh telah mengesahkan bahawa antara sebab TMI disekat adalah disebabkan rencana yang diterbitkan mengenai Najib dan skandal 1MDB.
