Susilo: Azahari berjaya lagi lolos diri dari polis
Rakyat Malaysia yang didakwa memainkan peranan penting dalam siri pengemboman yang mengorban banyak nyawa di Indonesia sekali lagi berjaya meloloskan diri dari polis baru-baru ini, kata Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dalam satu wawancara hari ini.
Bekas profesor universiti, Azahari Husin menjadi pengganas yang paling dikehendaki di Indonesia, kerana dituduh membuat bom yang digunakan dalam serangan-serangan pihak militan di republik itu beberapa tahun kebelakangan ini.
Ia termasuklah pengeboman di Bali pada bulan Oktober 2002 yang membunuh 202 orang, pengeboman Hotel Marriot Jakart pada 2003 yang mengorbankan12 orang, dan serangan ke atas Kedutaan Australia tahun lalu yang turut mengorbankan 10 orang.
"Saya sentiasa mengikuti perkembanganya dan ketua polis, dari masa ke sama, memaklumkan kepada saya (mengenai usaha menangkap Azahari). Saya diberitahu dia hampir-hampir dapat diberkas, tetapi dapat meloloskan diri," kata Yudhoyono dalam satu wawancara dengan akhbar harian Koran Tempo .
Katanya, beliau telah mengarahkan pihak polis supaya memperhebatkan lagi usaha memburu Azahari dan seorang lagi rakannya - Noordin Mohammed Top - rakyat Malaysia yang bertanggungjawab melatih ahli-ahli baru.
Yudhoyono yang mengangkat sumpah Oktober lalu, menjadikan usaha memberkas Azahari dan Nordin sebagai keutamaannya sepanjang tempoh 100 hari pertama menjadi presiden, tetapi sehingga ini masih gagal berbuat demikian.
Polis berkata, mereka juga hampir-hampir berjaya menangkap Azahari dan Noordin pada akhir 2003.
Menurutnya, mereka menghadapi masalah untuk mengenali Azahari dan Noordin yang sentiasa berubah wajah dan kadang-kadang menyamar sebagai peminta sedekah ataupun sebagai profesor.
AFP