Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS enggan terlibat majlis deklarasi singkir PM
Diterbitkan:  Mar 3, 2016 4:10 PM
Dikemaskini: 8:31 AM

PAS mengumumkan tidak akan bersama dalam majlis menandatangani deklarasi menuntut penyingkiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dijangka esok.

Setiausaha agungnya Datuk Takiyuddin Hassan berkata PAS mempunyai pendekatan tersendiri khususnya melalui “Blok Politik Ketiga” ke arah mengubah kepimpinan negara melalui “saluran yang demokrasi dan berperlembagaan”.

"PAS menghargai pelawaan Tun Dr Mahathir untuk PAS sama-sama hadir dalam Majlis Menandatangani Deklarasi Menuntut Penyingkiran Perdana Menteri Malaysia yang dijangka diadakan pada Jumaat ini.

"PAS mengambil keputusan untuk tidak bersama dalam program tersebut kerana PAS mempunyai pendekatan ketiga ke arah mengubah kepimpinan negara yang ada hari ini melalui saluran yang demokrasi dan berpelembagaan," katanya.

Sebaliknya Takiyuddin berkata PAS menuntut pentadbiran Najib supaya segera membubarkan parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan.

"PAS menuntut supaya parlimen Malaysia dibubarkan segera bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan dengan menyerahkan kembali mandat kepada rakyat bagi menggantikan kerajaan pusat hari ini yang terpalit dengan pelbagai skandal dan kelemahan urus tadbir.

"Selaras dengan itu PAS mengajak seluruh rakyat untuk bersama PAS dan blok ketiga sebagai alternatif menggantikan kerajaan hari ini ke arah membina negara Malaysia yang lebih baik, sejahtera dan semerlang," katanya pada kenyataan media.

Menghadap Majlis Raja-Raja

Sementara itu, Takiyuddin berkata parti itu juga berhasrat untuk menghadap Majlis Raja-Raja bagi mencadangkan sebuah Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat isu melibatkan kepimpinan negara.

"Melihat kepada suasana politik, ekonomi dan sosial negara yang amat gawat disebabkan urustadbir negara yang tidak keruan, maka PAS mengambil keputusan untuk menghadap Majlis Raja-Raja bagi menyembah cadangan supaya satu Suruhanjaya Diraja dibentuk bagi mengadakan siasatan menyeluruh terhadap isu-isu 1MDB, dana politik RM2.6 bilion, skandal SRC International dan isu-isu lain yang berkaitan sebagaimana yang telah dititahkan oleh Persidangan Majlis Raja-Raja baru-baru ini.

"Dalam hal ini juga, PAS konsisten dengan pendekatan budaya politik matang dan sejahtera sebagai suatu formula untuk melakukan perubahan total dalam sistem pemerintahan negara" katanya.

Lihat Komen
ADS