Jual diesel secara haram untung RM10 ribu sehari

Tan Chee Kwan        

Mereka yang mengambil kesempatan daripada kekurangan serius bekalan minyak diesel, telah menjual semula bahan bakar tersebut pada harga yang tinggi dan mengautkan keuntungan lumayan setinggi RM10,000 sehari.

Akhbar Oriental Daily News memetik Pengarah Penguatkuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Wilayah Persekutuan, Mohd Shahar Osman sebagai berkata sebuah lori tangki telah dirampas bersama 16,380 liter minyak diesel.

Lori tersebut yang dipercayai mengisi diesel di stesen minyak di Lebuh Raya Cheras, Kajang ditahan kira-kira jam 2.30 pagi kelmarin.

Menurut Mohd Shahar minyak diesel tersebut dibeli pada harga 83 sen seliter dan dijual semula pada harga RM1.40 kepada mereka yang tidak menerima subsidi.

Ini bermakna, harga belian bagi minyak diesel yang dibawa oleh lori tangki tersebut ialah RM13,595, manakala harga jualannya pula mencecah RM22,932.

Dengan itu, setiap lori tangki minyak terbabit menghasilkan pendapatan sekurang-kurang

RM9,396.

Katanya, pasukan penguatkuasa telah memulakan rondaan 24 jam di kawasan stesen minyak bagi menghalangkan pembelian minyak diesel secara haram di stesen terbabit.

Menurutnya, pihak berkenaan juga sedang menyiasat kemungkinan pemilik stesen minyak berpakat dengan pengedar minyak diesel.

Kaji semula pengambilan pekerja asing

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Syed Shahir Syed Mohamud berkata kerajaan perlu mengkaji dengan teliti setakat manakah negara ini bergantung kepada tenaga kerja asing.

Katanya, kerajaan perlu berbuat demikian dan bukannya menyerahkan kepada jabatan-jabatan yang berbeza dan dengan cadangan masing-masing, kerana ia boleh menyebabkan isu tersebut menjadi bertambah kompleks.

Dalam laporannya, akhbar Nanyang Siang Pau memetik Syed Shahir sebagai berkata, hanya pakar dalam bidang tersebut sahaja yang dapat menentukan pergantungan negara kepada pekerja asing

Setelah itu, katanya, barulah pekerja asing diambil bekerja mengikut permintaan sektor masing-masing, dengan memastikan peluang pekerjaan rakyat tempatan tidak terjejas.

Sebelum ini, Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri, Datuk Azmi Khalid berkata kerajaan akan memulakan pengambilan semula pekerja asing dalam masa tiga bulan yang mulai minggu depan.

Selain itu, katanya, kerajaan juga akan menimbangkan permohonan daripada pekerja asing yang pulang dalam tempoh pengecualian terlebih dahulu, untuk memenuhi kekosongan di sektor masing-masing.

Sehingga hari Isnin lalu, seramai 331,134 pekerja asing tanpa izin pulang ke negara masing-masing dalam tempoh pengecualian. Operasi ini bermula pada 29 Disember tahun lalu.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In