Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Demi ‘Selamatkan Malaysia’, seteru ketepi perbezaan
Diterbitkan:  Mar 4, 2016 5:37 PM
Dikemaskini: 11:15 AM

Deklarasi Rakyat bagi ‘Selamatkan Malaysia’ dengan menolak pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mencipta sejarah apabila pertubuhan, parti politik, pemimpin serta individu yang pernah berseteru duduk semeja.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa sesetengah pihak sebagai punca segala masalah hari ini berjaya menyatukan mereka untuk bersama menjayakan agenda baru.

Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah apabila disoal sama ada beliau sanggup mengetepikan kesilapan kerajaan pada masa lalu berkata apa yang harus dilakukan rakyat sekarang adalah untuk masa depan Malaysia.

"Dengan membawa pembaharuan institusi kita sudah membetulkan kesilapan masa lalu.

"Kita telah membuat kesilapan sepanjang jalan dan kita berada di sini hari ini, dan masa depan, untuk memperbetulkan kesilapan.

"Kita tidak mahu bercakap dalam masa 10 tahun akan datang nanti tentang rasuah, mengenai undang-undang yang menindas. Kita ingin katakan kami berada di sini untuk masa depan yang lebih baik," katanya.

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang yang pernah menjadi seteru ketat Dr Mahathir juga diajukan soalan oleh wartawan Malaysiakini sama ada beliau telah memaafkan pemimpin berusia lebih 90 tahun itu.

“Saya rasa semua rakyat kini sedia ketepikan perbezaan mereka dan bangkit bersama serta meletakkan negara mengatasi segala-galanya.

“Kita gesa 30 juta rakyat tanpa mengira kaum, agama mahupun perbezaan politik untuk tampil menyelamatkan Malaysia daripada menjadi negara gagal yang dikuasai oleh penyangak,” katanya.

Dr Mahathir pula apabila ditanya sama ada beliau mempercayai pembangkang sekadar berkata: "Persoalan mengenai pembangkang tidak timbul, kami di sini sebagai rakyat Malaysia."

Disoal wartawan, sama ada perjuangannya itu adalah untuk menyelamatkan Umno, beliau berkata persoalan itu tidak timbul.

"Ini tidak ada kena-mengena dengan Umno mahupun parti-parti lain.

"Ini adalah mengenai rakyat Malaysia. Mengenai masa depan negara," katanya.

Bekas presiden Majlis Peguam, Datuk S Ambiga juga bersetuju supaya semua masyarakat mengetepikan perbezaan masing-masing.

“Bagi masyarakat sivil sejauh yang saya tahu ia bukan bagi memecat seorang lelaki. Ini adalah menubuhkan agenda tulen bagi mengembalikan negara kerpada demokrasi sebenar.

“Kita telah menyimpang jauh tetapi agenda pembaharuan kami adalah memperkukuh institusi kebebasan bersuara, pilihan raya yang adil dan bebas serta menegakan kedaulatan undang-undang.

“Saya hadir di sini kerana mahukan Malaysia menjadi lebih baik.

Aktivis, Hishamuddin Rais pula ketika ditemui selepas sidang media berkata, kehadirannya pada hari ini adalah untuk masa depan negara dan menjatuhkan Najib.

Katanya walaupun pernah dimasukkan ke ISA pada 2001 semasa pemerintahan Mahathir namun perkara itu beliau ketepikan.

"Apa lebih penting sekarang ialah ketepi perbezaan itu lebih penting dan memandang ke depan ke arah sesuatu yang lebih besar iaitu Najib Razak.

"Saya ketepikan sementara. Bukan tak faham peranan Mahathir sebelum ini tapi untuk capai ini kita perlu bersatu. Ketepikan perbezaan," katanya.

Lihat Komen
ADS