Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

DAP Sarawak meminta para pengundi supaya menyokongnya dalam pilihan raya negeri akan datang bagi mengukuhkan kehadiran perwakilan pembangkang di negeri itu.

"Saya telah menyatakan dengan jelas bahawa pilihan raya negeri bukan mengenai perubahan kerajaan. Tanpa sebarang keraguan, Tan Sri Adenan Satem akan terus menjadi ketua menteri," tegas Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen.

Malah dilaporkan bahawa kadar sokongan untuk Adenan telah meningkat kepada 85.5 peratus, menurut kajian yang diketuai oleh Prof Madya Jeniri Amir dari Universiti Sarawak Malaysia.

"Tetapi, tidakkah anda mahu pembangkang yang kuat?" katanya sambil menambah bahawa pihaknya tidak mahu kembali ke era bekas Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang didakwanya mengabaikan suara akar umbi.

Dalam temu bual dengan Malaysiakini dan KiniTV Rabu lepas, Chong menjelaskan mengapa pengundi harus terus menolak BN.

Menurutnya, pelbagai janji, terutamanya yang berkaitan dengan isu-isu autonomi, masih tidak dipenuhi dan Sarawak telah dipinggirkan bertahun-tahun lamanya.

Dalam lawatannya ke Sarawak Ahad lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang begitu bergantung kepada sokongan pengundi di Malaysia Timur untuk mengekalkan kuasa, menggesa rakyat memberikan mandat yang kukuh kepada Adenan untuk memberinya kekuatan untuk berunding dengan kerajaan pusat untuk membantunya Adenan membangunkan negeri itu.

Memberi kemenangan kepada BN negeri itu, kata Najib, akan memastikan kerajaan negeri dan persekutuan berada di halaman yang sama untuk memastikan pembangunan pesat akan berterusan di sana.

Konglomerat politik

Chong, bagaimanapun mengingatkan pemimpin BN bahawa hakisan hak di Sarawak disebabkan oleh konglomerat politik BN, di mana sekutunya di negeri itu telah bersetuju untuk menerima royalti minyak sebanyak lima peratus. Mereka juga turut melepaskan pendidikan Bahasa Inggeris.

"Jika BN ikhlas, maka mereka harus menyerahkan autonomi mereka mengenai pendidikan, kesihatan, kewangan dan hal ehwal dalaman yang lain kepada kita," katanya sambil menambah: "Kami mahu autonomi. Kami mahu semak dan imbang."

"Ya,kita mempunyai kuasa pentadbiran dalam urusan tanah dan lesen pembalakan, sebagai contohnya. Tetapi, kita tidak ada semak dan imbang.

"Kami telah melihat monopoli enam syarikat pembalakan utama, yang telah diberikan lesen yang meliputi 9.2 juta ekar hutan atau satu pertiga tanah Sarawak," katanya sambil mendakwa terdapat tanah utama di bandar Kuching diberikan kepada kroni BN pada harga yang rendah.

Chong mendakwa bahawa ia berlaku walaupun selepas Adenan mengambil alih jawatan ketua menteri pada 28 Februari 2014,

DAP Sarawak mencatat pencapaian terbaik pada pilihan raya 2011 negeri dengan memenangi 12 kerusi negeri - semuanya majoriti Cina - selepas penubuhannya pada tahun 1978. Hanya dua daripada 15 kerusi yang ditandinginya ketika itu adalah bermajoriti masyarakat Dayak.

Ia adalah jelas bahawa DAP mahu menghapuskan label sebagai parti berasaskan kaum Cina di Semenanjung dan Malaysia Timur.

"Enam puluh peratus daripada ahli kami adalah orang Dayak - kami mempunyai beberapa ribu," kata Chong, sambil menambah bahawa DAP Sarawak merancang untuk bertanding 35 hingga 40 kerusi dalam pilihan raya negeri akan datang, yang dijangka bulan depan.

Ini bermakna bahawa DAP akan bertanding 22 hingga 27 kerusi bermajoriti masyarakat Dayak.

Dalam pilihan raya negeri yang lalu, DAP hanya mendapat purata 30 hingga 40 peratus sokongan masyarakat Dayak di kerusi yang mereka menangi.

ADUN Kidurung, Chew Chiu Sing, yang fasih berbahasa Iban dan telah kalah enam kali dalam pilihan raya, telah berjaya memenangi lebih daripada 45 peratus undi masyarakat Dayak dalam pilihan raya negeri 2011.

Chong yakin bahawa parti itu telah membuat beberapa kemajuan di kerusi bermajoriti masyarakat Dayak ekoran program DAP 'Impian Sarawak', sebuah program yang membawa pembangunan kepada masyarakat luar bandar, telah membuahkan hasil.

"Masyarakat Dayak tahu mengenai program ini," kata Chong, sambil menambah parti itu yakin dapat memenangi lebih daripada 12 kerusi.

Sementara itu, Chong yang merupakan ADUN Kota Sentosa selama dua penggal, berkata beliau mungkin bertanding di Batu Kitang, sebuah kerusi baru dalam Parlimen Stampin, yang diwujudkan selepas proses persempadanan semula kawasan pilihan raya di negeri itu.

"Ia bergantung, saya mungkin bertanding di sana jika diperlukan," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS