Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah mahu kerajaan segera mengekang dan menagani cubaan segelintir pihak yang memainkan sentimen perkauman serta menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan kandungan berbaur hasutan, fitnah dan fahaman ekstremis.
Titah Seri Paduka, kelewatan bertindak berhubung isu-isu yang melibatkan perpaduan dalam masyarakat pelbagai kaum boleh menyebabkan konflik dan perbalahan yang lebih besar.
“Beta ingin mengingatkan rakyat jelata agar sentiasa memelihara keharmonian dan kerukunan hidup bermasyarakat,” titah baginda ketika merasmikan pembukaan sidang parlimen keempat penggal ke-13 di Kuala Lumpur, hari ini.
Seri Paduka bertitah seterusnya menasihati semua pemimpin politik di negara ini, supaya berhenti berpolitik untuk kepentingan sempit kerana ia telah berlarutan sekian sehingga membebankan rakyat dan kerajaan.
Yang di-Pertuan Agong bertitah pemimpin-pemimpin politik seharusnya memberi contoh teladan
yang baik kepada rakyat dan saling bergandingan dalam melahirkan buah fikiran yang bermanfaat demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
Seri Paduka turut menyeru semua pihak untuk meraikan ruang dalam sebuah negara demokrasi berperlembagaan dengan berhemah walaupun berbeza pandangan dan bukannya saling menjatuhkan, bermusuhan dan fitnah-memfitnah yang boleh menjerumuskan negara kepada kehancuran.
"Beta menyeru ahli-ahli Yang Berhormat dan rakyat keseluruhannya supaya bersatu serta sayangilah negara ini dengan sentiasa menumpah taat setia yang tidak berbelah bahagi, mempertahan dan melindunginya.
"Elakkan juga daripada memburuk-burukkan negara di mata masyarakat antarabangsa," titah Seri Paduka.
