PAS akan bawa isu Kohilal kepada Hadi

Arfaeza A Aziz        

Tekanan semakin meningkat terhadap kepimpinan PAS pusat untuk meredakan rasa tidak puashati di kalangan ahli-ahli parti itu berhubung kerugian dalam pelaburan koperasi Al-Hilal Berhad (Kohilal).

Selepas PAS Negeri Sembilan mengambil dayausaha mengumpulkan aduan daripada ahli-ahli yang kerugian wang pelaburan mereka dalam koperasi itu, kini PAS Selangor pula memutuskan untuk membawa kes tersebut kepada pucuk kepimpinan tertinggi parti itu.

Menurut sumber-sumber, dalam satu mesyuarat minggu lalu, PAS Selangor sebulat suara bersetuju untuk menghantar memorandum kepada Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung sungutan ahli-ahli mengenai kelemahan dalam pengurusan Kohilal, yang didakwa turut membabitkan pemimpin-pemimpin tertentu parti itu.

Selain memorandum tersebut, PAS Selangor juga memutuskan untuk menghantar surat kepada Kohilal menuntutnya supaya memulangkan semula pelaburan terbabit yang berjumlah lebih RM250,000.

Bagaimanapun, Pegawai Perhubungan PAS Selangor, Mohd Norman Taha enggan mengulas ketika ditanya mengenai perkara tersebut.

"Butir-butir mesyuarat tersebut adalah sulit. Kami tidak boleh mendedahkannya kepada pihak akhbar," katanya ketika dihubungi.

Tiada hitam putih

Seorang ahli parti itu yang tidak mahu namanya disebut, mendedahkan bahawa ahli perhubungan negeri dan ketua-ketua kawasan telah menghadiri mesyuarat pada 25 Januari lalu untuk mendengar taklimat daripada pihak pengurusan Kohilal mengenai pelaburan oleh PAS Selangor.

Katanya, mereka amat kecewa apabila mendapat tahu, antaranya, tiada hitam putih untuk membuktikan bahawa wang tersebut telah dilaburkan dalam pelbagai jenis perniagaan, sepertima yang didakwa oleh lembaga pengarahnya.

Sebelum ini Kohilal dilaporkan kerugiaan RM46.5 juta yang dilaburkan, termasuk dalam projek ternakan burung unta di Australia, perniagaan emas dan pelaburan dalam projek pertanian di Indonesia.

Sumber itu juga mendakwa, ramai yang terperanjat dengan ketiadaan sikap profesionalisma dan etika dalam lembaga pengarah koperasi itu.

"Mereka memutuskan sesuatu mesti dibuat. Antara perakuannya ialah supaya pemimpin yang terbabit dalam kegagalan pelaburan tersebut, disingkirkan. Ini mungkin keras tetapi mereka yang menghadiri mesyuarat tersebut bimbang kerana lembaga pengarah koperasi itu sedang disiasat oleh Jabatan Pembangunan Koperasi.

"Mereka bimbang pihak berkuasa akan mengambil tindakan undang-undang, sama ada sivil ataupun jenayah, dan ia mungkin membabitkan seorang daripada pemimpin PAS. Jadi menurut mereka, pihak parti patut mengambil tindakan terhadap orang berkenaan sebelum ianya berlaku. Ini adalah untuk melindungi imej parti," katanya.

Katanya, memorandum tersebut sedang disediakan oleh sebuah jawatankuasa dan apabila siap, ia akan dihantar kepada presiden PAS.

"Mereka mahu menyerahkan kepadanya sebelum beliau berjumpa dengan ahli jawatankuasa pusat pada 13 Februari ini. Mereka berharap memorandum itu akan dibincangkan oleh para pemimpin pusat," kata sumber-sumber itu lagi.

Lima aduan telah diterima

Isu berkaitan dengan Kohilal ini telah berulangkali dibangkitkan dalam pelbagai mesyuarat parti itu di peringkat negeri dan pusat termasuk sewaktu berlangsungnya konvensyen khas baru-baru ini.

Rasa tidak puashati ahli-ahli parti, telah membawa kepada perletakan jawatan beramai-ramai ahli lembaga pengarah Kohilal, yang dipengerusikan oleh Senator Hassan Shukri, pada bulan Jun 2002. Hassan menjadi pengerusi koperasi itu mulai tahun 1996.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Dr Rosly Yaacob berkata setakat ini, pihaknya telah menerima lima aduan terhadap Kohilal.

"Seorang daripada pengadu terbabit berkata beliau melabur RM100,000 yang dikumpulkan daripada saudara maranya. Begitu juga dengan seorang pengusaha ternakan yang turut melabur jumlah yang sama," katanya.

Ditanya sama ada pihak PAS negeri itu akan merujukkan aduan-aduan tersebut ke peringkat pusat untuk tindakan selanjutnya, beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak berniat untuk berbuat demikian.

"Sepertimana yang saya katakan, buat masa ini, kami mahu menumpukan kepada usaha mengumpul dan mengesahkan aduan yang diterima. Di peringkta keduanya, barulah dibabitkan pemimpin peringkat pusat. Mungkin kita tidak perlu berbuat demikian, tetapi pada masa yang sama, kami tidak menolak kemungkinan itu," tambahnya.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In