Empat NGO pertahan tindakan Jawi serbu pusat hiburan
Empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini mempertahankan tindakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membuat serbuan ke sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Persatuan Ulama Kedah (PUK), Teras, Institut Penyelidikan dan Pengembangan Syariah Malaysia (Isra) serta dan Institut Pengemblengan dan Pembangunan Komuniti (Impak) turut mendakwa ada agenda tersirat pihak tertentu menyerang Jawi yang melaksanakan tanggungjawab menguatkuasakan undang-undang syariah.
"Kami amat kesal dengan beberapa menteri, media dan NGO tertentu yang dengan tidak sabar terus menyerang pegawai Jawi sebelum siasatan dilakukan.
"Bukan sahaja siasatan lebih jelas sama ada benar pegawai terbabit melanggar prosedur serbuan seperti yang didakwa, belum dikeluarkan oleh Jawi, malah ia juga tidak diberi peluang untuk menerangkan kedudukan sebenar," katanya dalam kenyataan bersama semalam.
Kenyataan itu ditandatangani oleh Presiden Teras Mohd Azmi Abdul Hamid, Yang Dipertua PUK Syeikh Abu Bakar Awang, Pengerusi Isra Datuk Syeikh Azmi Ahmad dan Pengerusi Impak Mahfuz Omar.
Mereka berpendapat golongan yang berpegang kepada fahaman liberal tidak mahu mendedahkan secara terang-terangan niat mereka menolak perlaksanaan undang-undang syariah, tetapi telah menggunakan isu perlaksanaan undang-undang tersebut, kononnya ekstrim, ala Taliban, terlalu ghairah, tidak toleran dan menjadi polis moral.
Majlis Raja-Raja
Teras, PUK, Isra dan Impak mendakwa ada agenda tersendiri pihak tertentu untuk memburuk-burukkan Jabatan Agama Islam di negara ini, sekaligus untuk menanamkan rasa benci dengan perlaksanaan undang-undang syaiah.
"Ada menteri tertentu yang tidak senang terhadap Jabatan Agama Islam telah mengesyorkan supaya kuasa penguatkuasanya dimansuhkan. Menteri tersebut juga mempersoalkan kuasa Raja-Raja yang berkuasa ke atas perlaksanaan undang-undang Islam," kata mereka lagi.
Keempat-empat NGO itu juga memohon Majlis Raja-Raja supaya membincangkan implikasi yang menurut mereka, merbahaya dari segi perkembangan serangan pihak tertentu terhadap Jabatan Agama Islam.
Mereka juga menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya menegur dan melarang media menyiarkan tulisan dan komen yang bersifat negatif mengenai syariah dan agensi perlaksanaan undang-undang syariah, supaya tanggapan negatif dapat dielakkan.
"Kami juga menuntut pihak-pihak yang berkenaan diambil tindakan kerana menyerang Jawi tanpa asas," katanya mereka.