Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berpendapat, tindakan kumpulan yang mengadakan Deklarasi Rakyat bagi menyingkirkan perdana menteri baru-baru ini sebagai sia-sia.

Menurutnya, untuk menjatuhkan seseorang perdana menteri, proses demokrasi diperlukan iaitu melalui pilihan raya atau usul undi tidak percaya.

Sehubungan itu, jelasnya, untuk melakukan usul undi tidak percaya dilihat tidak akan berlaku memandangkan ia memerlukan majoriti daripada anggota Parlimen daripada Umno dan BN.

"Kita mahu perubahan secara demokrasi sama ada undi tak percaya atau pilihan raya. Undi tak percaya mestilah undi di parlimen dan di parlimen mesti dari orang-orang Umno sendiri.

"Kalau orang Umno tak ubah kita je nak ubah kerusi nak buat apa.

"Ya sia-sialah. Senang sebut sia-sia. Dan mesti ada kemunasabahan dia," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Jumaat lalu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai 57 individu dari pembangkang dan NGO menandatangani Deklarasi Rakyat bagi mendesak peletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak.

Antara yang menyertai Deklarasi itu adalah bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pemimpin DAP Lim Kit Siang dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

PAS tidak sebulat suara

Sementara itu Hadi mengakui ahli-ahli PAS tidak sebulat suara berhubung Deklarasi Rakyat tersebut.

Katanya, terdapat sebahagian ahlinya yang menyokong deklarasi tersebut dan ada yang tidak.

"Deklarasi Rakyat saya dah buat kenyataan awal, ada tempat kita setuju ada yang setuju. Yang setuju (tentang) perubahan dan tak setuju- gopoh.

"Kita tak sebulat suara dalam perkara ini," katanya lagi.

Ketika ditanya sama ada pihaknya akan membuat mesyuarat bagi membincangkan Deklarasi Rakyat itu, Hadi berkata:

"Ada perkara kita mesyuarat ada perkara perlu pandangan dari beberapa orang tokoh pimpinan. Bukan semua mesyuarat," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS