Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: Najib tak terima kad kredit, pendapatan syarikat lain
Diterbitkan:  Mar 15, 2016 11:44 AM
Dikemaskini: 3:49 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman Said hari ini mendedahkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak ada menerima pendapatan lain daripada syarikat-syarikat.

"Perdana Menteri tidak menerima sebarang pendapatan lain daripada syarikat-syarikat dan tidak menerima apa-apa faedah dalam bentuk kad kredit korporat," katanya dalam jawapan bertulis di parlimen.

Azalina berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ko Chung Sen (DAP-Kampar) yang meminta Najib menyatakan selain daripada gaji dan keistimewaan sebagai ahli parlimen dan perdana menteri.

“Sama ada beliau mempunyai apa-apa pendapatan lain daripada syarikat-syarikat dan sama ada beliau menikmati sebarang faedah dalam bentuk kad kredit korporat.

“Dan adakah pendapatan dan faedah dari luar ini telah diisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri?” soal Ko.

Najib sebelum ini dituduh menerima dana daripada 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya.

Sarawak Report juga mendakwa SRC International membayar untuk dua kad kredit yang digunakan oleh Najib.

SPRM pada 20 Januari tahun ini enggan mengulas mengenai dakwaan tersebut.

Sebuah carta aliran yang didedahkan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada sidang akhbarnya, bagaimanapun, menunjukkan sebaliknya.

Ia memaparkan sejumlah RM3.2 juta dibelanjakan melalui dua kad kredit yang dikaitkan dengan salah satu akaun Ambank yang didakwa milik Najib yang dikatakan menerima dana dari SRC International.

Najib menafikan beliau menggunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi, dan menolak dakwaan itu adalah komplot pihak tertentu untuk menggulingkannya.

Apandi juga telah membersihkan Najib daripada sebarang salah laku berhubung dana RM42 juta milik SRC International dan juga berhubung skandal ‘derma’ RM2.6 bilion.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS