Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saiful tolak deklarasi Mahathir, tetap mahu Anwar di penjara
Diterbitkan:  Mar 15, 2016 12:52 PM
Dikemaskini: 6:20 AM

Mohd Saiful Bukhari Azlan yang membantu meletakkan bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di penjara atas tuduhan meliwatnya, mendakwa beliau didatangi beberapa individu untuk menyokong Deklarasi Rakyat bagi ‘Selamatkan Malaysia’.

Walau bagaimanapun, Saiful berkata beliau tidak akan menyokong Deklarasi Rakyat yang menuntut penyingkiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang didakwa terpalit dengan beberapa skandal dan mahukan pembaharuan institusi tetapi senyap berhubung Anwar.

Ini, katanya, adalah kerana majoriti mereka yang menyokong Deklarasi Rakyat berhasrat mengunakan ia sebagai platfom untuk membebaskan Anwar.

“Sokong Deklarasi Rakyat = Sokong Bebas Anwar. Jadi wajarkah saya sokong gerakan tersebut? Gerakan yang mana majoriti ahlinya mahu Anwar dibebaskan?

“Jika saya sokong, maka secara tidak langsung saya akan dilabel sebagai pembohong, melakukan penipuan di mahkamah dan lebih besar lagi iaitu melanggar sumpah laknat saya yang telah saya lafazkan di Masjid Wilayah dan Masjidil Haram.

“Justeru, tidak sesekali saya akan berbuat demikian,” kata beliau dalam blognya hari ini.

Saiful berkata beliau membuat kenyataan itu agar jika ada pihak lain selepas ini menghubungi dan menjemputnya melakukan perkara sama, jawapannya tetap sama.

Bekas pembantu kepada Anwar itu juga mendakwa beliau tidak mahu terbabit dalam hal-hal politik.

“Tujuan utama deklarasi ini adalah untuk menjatuhkan pemimpin tertentu. Pada hemat saya, ini adalah isu politik, saya tidak berminat, dan saya tidak ada hak untuk masuk campur,” katanya.

Anwar pada Februari tahun lalu dijatuhkan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat Saiful, satu tuduhan yang ketua umum PKR itu dakwa sebagai bermotifkan politik.

Pada majlis memeterai Deklarasi Rakyat pada 4 Mac lalu, Presiden Hakam Datuk Ambiga Sreenevasan berkata pembaharuan mesti termasuk membebaskan mereka yang dipenjarakan secara tidak adil, termasuk Anwar.

Purajaya menafikan sekeras-kerasnya bahawa Anwar adalah tahanan politik walaupun PBB mengiktiraf beliau sebagai ‘prisoner of conscience’.

Lihat Komen
ADS