Selepas 1,000 hari tinggal di bawah khemah, penghuni flat Taman Permata di Dengkil akhirnya dapat "melihat cahaya harapan di hujung terowong".
Mereka kini menyandarkan harapan kepada kerjasama antara kerajaan Selangor dan kerajaan persekutuan - di sebuah bandar kira-kira 15km dari Putrajaya - yang akan memberikan mereka rumah untuk didiami.
Setiap pengunjung kini boleh melihat pancaran harapan di wajah mereka.
Walaupun tinggal dalam keadaan yang rimas di bawah tiga khemah kanopi di situ, namun rata-rata penghuninya kini tersenyum lebar.
Ia termasuklah setiausaha jawatankuasa flat Taman Permata Dengkil, Kumaran Nagurusamy, yang turut tidak dapat menyembunyikan rasa kegembiraannya.
Kerja keras oleh individu berusia 46 tahun itu serta ahli jawatankuasanya selama ini, telah mula membuahkan hasil.
Selepas 16 tahun berdepan dengan masalah keretakan dan gegaran tiang di rumahnya, Kumaran bersyukur dengan kemungkinan dia bersama isteri dan tiga anak mereka, akan berpindahkan ke rumah teres baru di Ampar Tenang, yang terletak hanya 4 km jauhnya.
Semalam, penasihat jawatankuasa itu dan aktivis S Arutchelvan (yang juga ahli majlis tertinggi PSM, kiri sekali) mengumumkan bahawa kerajaan Selangor telah memperuntukkan 40 ekar tanah untuk pembinaan rumah teres untuk penghuni flat Dengkil yang terjejas.
Menurut perjanjian yang ditandatangani antara kerajaan negeri dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, agensi kerajaan persekutuan mempunyai sehingga 14 Julai 2016 (di bawah Notis 5A) untuk memulakan pembinaan rumah teres yang dipersetujui itu.
Kumaran menaruh harapannya agar rumah baru akan siap dalam tempoh tiga tahun.
"Apalah sangat menunggu dua hingga tiga tahun lagi, berbanding dengan penantian keluarga saya selama 16 tahun?" katanya sambil menambah ada sesetengah keluarga di flat itu (400 isi rumah) berdepan dengan masalah keretakan dan gegaran akibat ketidakstabilan bangunan itu selama 22 tahun.
Sejak 1,000 hari yang lalu, Kumaran berkata, keluarga dan jiran-jiran beliau menerima bantuan dari mereka yang baik hati dan NGO seperti Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit), dalam bentuk sumbangan makanan dan kemudahan lain.
Kumaran dan penduduk lain juga melahirkan harapan agar dalam tempoh tiga tahun akan datang, kerajaan negeri dan persekutuan dapat bekerjasama demi kebaikan rakyat.
Bagaimanapun, ada penghuni yang masih tinggal di flat mereka.
Ketika wartawan Malaysiakini meninjau koridor yang retak, kanak-kanak kelihatan menghabiskan masa lapang bermain manakala ibu bapa mereka sibuk dengan kerja rumah.
Penghuni flat itu menjadi tajuk utama pada tahun 2009 - 10 tahun selepas mereka dipindahkan dari ladang untuk memberi laluan kepada pembangunan Putrajaya.
Kemudian, 50 penduduk mengadakan bantahan ekoran masalah penyelenggaraan dan keadaan flat mereka yang sangat teruk.
Masalah itu menjejaskan kira-kira 400 isi rumah.
