Dasar campur tangan dengan strategi yang lebih baik diperlukan sekiranya kerajaan berhasrat mengawal harga rumah dengan mengkaji semula Dasar Perumahan Negara, kata Knight Frank Malaysia, firma perunding hartanah global.
Pengarah Urusannya Sarkunan Subramaniam berkata keutamaan perlu diberikan kepada usaha meningkatkan pendapatan rakyat.
"Rakyat tidak memperoleh wang yang mencukupi walaupun untuk rumah pertama mereka dan gaji mereka tidak naik seiring dengan inflasi. Inilah pembetulan utama yang perlu dilakukan.
"Apa yang kita perlukan sekarang ialah untuk membuat pemaju menyumbang kepada suatu dana tertentu untuk rumah mampu milik atau mempunyai 30 peratus peruntukan kos rendah bagi rumah mampu milik dalam projek pembangunan, di mana yang mungkin," katanya kepada Bernama selepas melancarkan Laporan Kekayaan Knight Frank 2016 di ibunegara pada kelmarin.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 3 Mac bahawa kerajaan akan campur tangan untuk mengawal harga rumah melalui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Sarkunan berkata sebelum ini, terdapat dasar yang menetapkan peruntukan 30 peratus bagi segmen kos rendah dalam projek pembangunan bagi membolehkan pembangunan diluluskan.
Menurut laporan sebelum ini, Ahmad Zahid berkata, campur tangan kerajaan adalah untuk membantu mengawal harga rumah supaya dapat memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah.
- Bernama
