Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sebanyak 42 NGO hari ini menandatangani deklarasi bagi menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pengisytiharan berkenaan adalah sebagai tindak balas daripada Deklarasi Rakyat yang ditandatangani lebih 50 pemimpin daripada parti politik dan masyarakat sivil bulan ini yang menuntut peletakan jawatan Najib.

Antara yang menandatangani deklarasi itu adalah Persatuan Bekas Polis Malaysia, Yayasan Suara Wanita, Majlis Belia dan Persatuan Ibu Tunggal.

Bercakap kepada pemberita selepas menandatangani ikrar pro-Najib, Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) Abdul Aziz Rahman berkata tindakan mengumpul tandatangan bukan cara untuk membuat Najib meletakkan jawatan.

Najib, katanya, boleh disingkirkan oleh kepimpinan Umno sebagai presiden Umno atau melalui undi tidak percaya di parlimen atau sekiranya beliau tidak siuman.

"Bukan cara nak kutip signature (tandatangan) di jalan-jalan. Itu bukan proses. Ini bertentangan dengan sistem dan proses demokrasi yang kita ada," kata Abdul Aziz pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Mengambil contoh Arab Spring , beliau berkata, ramai di Timur Tengah telah menderita dan kehilangan tempat tinggal di negara mereka sendiri.

"Tengok Arab Spring , sampai sekarang (rakyat) merana, merempat di tempat sendiri. Ini sebenarnya usaha nak menjatuhkan kerajaan.

"Yang itu kita nak elak. Pilihan yang mereka buat ni, bersekongkol dengan parti pembangkang yang dulunya musuh nombor satu yang tidak suka dengan hak-hak keistimewaan orang Melayu. Itu kita nak tidur sebantal?," soalnya.

Cerita sebenar

Dalam perakuan hari ini, MUBARAK dan NGO lain mengutuk sekerasnya gerakan kumpulan-kumpulan tertentu untuk menggulingkan kepimpinan dan kerajaan.

"Kami merakamkan rasa dukacita dan menentang sekeras-kerasnya (tindakan) pihak tertentu untuk menjatuhkan kepimpinan (Najib)," kata Abdul Aziz.

Mengulas mengenai kumpulan anti-Najib yang merancang untuk mengadakan siri jelajah, beliau berkata, rancangan kumpulan itu sekadar untuk menghasut rakyat.

Sehubungan itu MUBARAK dan NGO lain akan mengadakan siri jelajah mereka sendiri di seluruh negara untuk "memberitahu cerita sebenar".

Sementara itu, ditanya sama ada Mahathir dipecat sebagai penaung MUBARAK, Abdul Aziz berkata majlis tertinggi persatuan itu telah memutuskan untuk "mengucapkan terima kasih" kepada pemimpin politik veteran itu.

"Bila Tun terkeluar daripada Umno, lepas tu bersekongkol dengan parti lawan yang menentang BN, kita buat keputusan untuk mengucapkan terima kasih kepada Tun yang telah berkhidmat sebagai patron," ujarnya.

Lihat Komen
ADS