Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
El Nino: Petani di Cameron Highlands terjejas, 100,000 benih ikan mati
Diterbitkan:  Mar 18, 2016 6:39 AM
Dikemaskini: Mar 18, 2016 3:12 AM

Pertanian di Cameron Highlands terjejas manakala kira-kira 10,000 benih ikan jelawat, jenahak dan kerapu yang diternak di Kuala Sangga dan Kuala Sepetang, mati akibat cuaca panas dan kering yang melanda negara sekarang kesan daripada fenomena El Nino.

Manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak menyelaras semula jadual pelepasan air dari Empangan Bukit Merah ke kawasan padi di daerah Kerian akibat fenomena El Nino pada masa ini, lapor Bernama.

Di Labuan pula, Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan meletakkan anggota pasukan itu dalam keadaan berjaga-jaga sepanjang masa ekoran musim kering yang berlarutan mengakibatkan peningkatan ketara kejadian kebakaran belukar di pulau berkenaan.

Bernama melaporkan, di Cameron Highlands, kawasan tanah tinggi itu yang memang sinonim dengan suhu dingin sudah hampir sebulan tidak mengalami hujan sehingga bahang El Nino cukup terasa dan memberi kesan.

"Hasil kurang, kualiti kurang, untung pun kurang", demikian antara keluhan pekebun sayur di situ yang mengakui terjejas dengan cuaca panas dan kering ketika ini akibat fenomeno El Nino.

Seorang pekebun, Kwang Ting Woon, 48, berkata perubahan cuaca panas secara mendadak memberi kesan terhadap kebun sayur dan buah-buahan yang diusahakannya di Blue Valley.

"Bila cuaca panas, sayur mula bermasalah, banyak tidak menjadi kerana ada sayur yang tahan panas dan ada yang tak tahan panas seperti kubis bunga, tomato dan brokoli memang susah sikit nak hidup bila cuaca terlalu panas.

"Permintaan tinggi tetapi hasil kurang, jadi sayur dan buah-buahan akan jadi mahal harganya tambahan pula sekarang cuti sekolah, ramai pelancong datang ke sini," katanya ketika ditemui Bernama semalam.

Bagi R.Puspa, 40-an, yang menjual sayur dan buah-buahan di Kea Farm, cuaca panas pada tahun ini boleh dikatakan paling teruk berbanding tahun sebelumnya.

"Sebelum ini bila cuaca panas, sayur dan buah-buahan di Cameron Highlands masih lagi ok, tak terjejas pun tetapi sekarang saya beli sayur daripada pemborong pun sudah mahal.

"Misalnya sebelum ini 10 kilogram brokoli hanya RM50, sekarang sudah naik sampai RM150. Jadi bila mahal, kita terpaksa jual mahal dan pelanggan pun merungut ingat kita ambil kesempatan," katanya yang berniaga sejak 10 tahun lalu.

Puspa turut mengeluh dengan mengatakan kenaikan harga sayur dan buah-buahan ketika ini menyebabkan pendapatannya berkurangan kerana ramai pengunjung enggan membeli walaupun sekarang merupakan musim cuti sekolah.

"Jika sebelum ini saya boleh dapat pendapatan mencecah RM5,000 sebulan, sekarang nak beli bekalan sayur dan buah-buahan untuk berniaga pun tak pulang modal kerana terlalu mahal," katanya.

Pemilik ladang strawberi, Mohd Zulkepli Daud, 52, berkata hasil tanamannya turut terkena tempias fenomena El Nino kerana buah yang ditanam diserang ulat.

"Sekarang ini bila kita kutip buah strawberi waktu pagi, menjelang tengah hari buah itu nampak lebam," katanya yang mempunyai ladang strawberi seluas 1,400 kaki persegi di Taman Sedia, Tanah Rata

Manakala di Taiping pula, Bernama melaporkan kira-kira 10,000 benih ikan jelawat, jenahak dan kerapu yang diternak di Kuala Sangga dan Kuala Sepetang mati akibat cuaca panas dan kering yang melanda negara sekarang kesan daripada fenomena El Nino, menyebabkan beberapa penternak ikan kerugian sehingga mencecah ratusan ribu Ringgit.

Seorang penternak Chuah Thye Guan, 50, berkata beliau memasukkan beribu-ribu benih ikan jelawat dalam ke sangkar minggu lalu, namun terkejut apabila mendapati semuanya mati beberapa hari lalu.

"Saya mendapati air laut surut hingga ke dasar menyebabkan ikan dalam sangkar mati akibat kekurangan oksigen kerana cuaca yang sangat panas.

"Saya dan beberapa pekerja terpaksa menggunakan set generator untuk memasukkan oksigen ke dalam sarang," katanya kepada Bernama semalam.

Chuah mendakwa kerugian yang ditanggung akibat kejadian itu lebih daripada RM100,000.

Katanya industri penternakan ikan dalam sangkar sentiasa menghadapi ancaman apabila cuaca panas dan kejadian yang menimpa perusahaannya kali ini adalah yang kedua selepas 2009.

Seorang lagi penternak yang hanya mahu dikenali sebagai Ong berkata beliau juga kerugian lebih RM100,000 kesan daripada cuaca dan air laut panas.

"Saya mengusahakan ternakan ikan dalam sangkar ini sejak beberapa tahun lalu dan amat sedih sebab cuaca panas menyebabkan benih ikan saya mati," katanya.

Kawasan Kuala Sangga dan Kuala Sepetang mempunyai kira-kira lapan penternak ikan dalam sangkar.

Di Labuan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan merekodkan 136 kes kebakaran belukar dan hutan setakat ini, berbanding hanya 47 bagi tempoh sama tahun lepas, peningkatan sebanyak 170 peratus.

Pengarahnya, Zainal Madasin memberitahu Bernama sehingga kini, kebakaran yang berlaku melibatkan tanah terbiar seluas lebih 50 ekar, termasuk kebakaran besar memusnahkan kawasan seluas tiga ekar di Kampung Kerupang.

"Daripada keseluruhan 317 kes itu, 127 adalah kebakaran belukar dan sembilan kebakaran hutan. Tiada kebakaran hutan direkodkan dalam tempoh sama tahun lepas.

"Peningkatan ketara ini berlaku akibat fenomena El-Nino yang dijangka berlarutan sehingga April, dan kami menjangka jumlah kes akan meningkat sekiranya tiada hujan beberapa hari lagi," kata Zainal.

"Berdasarkan statistik kami, kawasan terjejas termasuk Simpang Langkan, Jalan Bebuloh, Kampung Sungai Bedaun, Kerupang, Jalan Arsat, Jalan Batu Arang dan Kampung Ganggarak. Saya berterima kasih atas kerjasama rapat orang ramai yang memaklumkan kepada kami tentang kejadian kebakaran belukar," katanya.

Sementara itu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan dalam kenyataan di Kota Kinabalu hari ini, berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah menerima 1,164 panggilan kecemasan mengenai pembakaran terbuka dari 17 Jan hingga 13 Mac tahun ini, bertambah 4.11 peratus.

Sementara itu, di Parit Buntar, Bernama melaporkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak menyelaras semula jadual pelepasan air dari Empangan Bukit Merah ke kawasan padi di daerah Kerian, berikutan cuaca panas dan kering akibat fenomena El Nino pada masa ini.

Pengarahnya Datuk Ir Abdul Razak Dahalan berkata pelepasan air khusus untuk aktiviti penanaman padi itu bermula sejak 20 Feb lepas hingga 10 April depan, berbanding jadual asal pada 25 Mac.

Beliau berkata penjadualan semula itu dibuat hasil perbincangan dengan Jabatan Pertanian dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).

"Setiap kawasan akan menerima pelepasan air mengikut jadual yang diedar dan ia dibuat secara berperingkat bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk sawah padi," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Empangan Bukit Merah merupakan punca bekalan air pengairan untuk seluruh Rancangan Pengairan Kerian dan mempunyai kawasan tadahan seluas 480 kilometer persegi.

Abdul Razak turut menasihati petani supaya memastikan batas sawah masing-masing dalam keadaan baik bagi mengelak air mengalir ke dalam parit.

Sementara itu, beberapa petani di daerah Kerian yang ditemui bimbang cuaca panas dan kering kini akan menjejaskan tanaman padi mereka.

Abdul Kamar Hassan, 64, berkata ketika ini petani mula membajak sawah masing-masing sebagai persediaan awal sebelum menabur benih padi yang memerlukan banyak air.

"Dalam keadaan cuaca panas sekarang kita bimbang bekalan air tidak cukup kerana benih padi memerlukan air yang banyak untuk bertunas," katanya.

Mohd Yusoff Samad, 46, pula berkata selain mengharapkan pelepasan air dari empangan, beliau turut berdoa agar hujan untuk memastikan sawah padi kekal lembab.

"Saya harap hujan...dapat membantu petani mengerjakan sawah kerana parit dan sungai di sini telah kering akibat cuaca panas," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS