mk-logo
Berita
Dr M gesa cawangan Umno usul tak percaya Najib
Diterbitkan:  Mar 18, 2016 6:58 AM
Dikemaskini: 7:39 AM

Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa cawangan-cawangan Umno mengemukakan usul tidak percaya terhadap Datuk Seri Najib Razak sebagai presiden parti dan perdana menteri dalam mesyuarat tahunan masing-masing.

Beliau juga menggesa akar umbi Umno mengusulkan supaya pemilihan parti itu tidak ditangguhkan, sebaliknya dilaksanakan seperti sepatutnya pada tahun ini.

Menurut bekas perdana menteri keempat Malaysia itu berkata, beliau mengajak ahli Umno yang "sayang kepada perjuangan asal Umno" supaya membantu beliau "menyelamatkan parti dan negara.

"Kemukakanlah usul undi tidak percaya terhadap Najib sebagai presiden parti dan perdana menteri di mesyuarat-mesyuarat cawangan Umno.

"Usulkan juga agar pemilihan parti tidak ditangguhkan dan dilaksanakan pada tahun ini juga.

"Kita tidak boleh tunggu pilihan raya umum ke-14 kerana Umno yang dipimpin oleh Najib tetap akan kalah. Sekali Umno kalah ia tidak dapat dipulih semula," katanya.

Pernah dibuat dulu

Beliau berkata demikian dalam tulisan bertajuk 'Surat kepada ahli-ahli cawangan Umno' yang dimuat naik di Facebook Mukhriz Mahathir FC hari ini.

Mesyuarat cawangan Umno di seluruh negara bermula hari ini dan berlangsung kira-kira sebulan, sebelum diikuti pula dengan mesyuarat bahagian Umno yang dijangkakan berakhir pada 18 Julai.

Persidangan Agung Umno bagi tahun ini pula dijangka diadakan pada bulan Disember.

Pada Jun lalu Najib mengumumkan pemilihan Umno yang sepatutnya berlangsung tahun ini, ditangguhkan selama 18 bulan.

Keputusan itu, kata Najib, diambil selepas dibicangkan anggota majlis tertinggi parti berkenaan dan dibuat mengikut fasal 10.16 Perlembagaan Umno.

"‎Amat penting bagi kita untuk utamakan rakyat, keperluan rakyat, dasar dan akar umbi serta pengukuhan parti supaya Umno lebih mantap bagi menghadapi PRU (pilihan raya umum) akan datang," kata Najib.

Najib juga berkata, amalan menangguhkan pemilihan jawatan dalam parti juga pernah dilakukan presiden terdahulu.

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini