Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Para petani di Perak bijak mengubah suai cara penyiraman tanaman untuk memastikan kebun mereka tidak terjejas ekoran cuaca panas dan kering akibat fenomena El Nino yang melanda sekarang.

Pengarah Jabatan Pertanian Perak Noor Azmi Yahya berkata antara pendekatan diambil petani adalah memastikan air yang diguna untuk menyiram tanaman dapat ditakung di parit atau saluran disediakan bagi tujuan kitar semula.

"Petani akan berusaha untuk mengubah suai cara penyiraman tanaman bagi tujuan penjimatan kegunaan air.

"Ini bermakna air yang disiram masuk ke dalam parit kemudian ditakung dan tidak terus mengalir ke kawasan lain kerana air yang ditakung itu dapat diguna semula untuk tujuan pengairan secara kitar semula," katanya kepada Bernama.

Selain itu Noor Azmi berkata terdapat kalangan petani yang membina kolam atau telaga tiub di dalam kawasan kebun mereka.

Katanya petani yang memperoleh sumber air dari kolam dan telaga tiub akan mencari sumber dari sungai berhampiran sekiranya bekalan mereka berkurang kesan daripada cuaca panas sekarang.

"Air kolam atau telaga tiub dipengaruhi oleh paras dalam tanah, maka petani akan mengepam air sungai ke dalam kolam takungan jika berlaku keperluan," katanya.

Menjelas lanjut, Noor Azmi berkata perancangan bijak para petani itu sedikit sebanyak dapat menjamin bekalan sayuran, buah-buahan dan padi di Perak tidak terjejas, malah mencukupi.

Beliau berkata setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan atau aduan daripada pengusaha pertanian mengenai kemusnahan tanaman akibat kemarau atau kekurangan air.

Selain itu, Noor Azmi berkata bekalan padi boleh terjejas sekitar 40 peratus sekiranya keadaan panas dan kering sekarang berlarutan.

Namun, Noor Azmi berkata kerajaan telah mewujudkan skim pengairan yang lebih baik dan mantap dengan memastikan semua punca air bagi penanaman sawah padi adalah dari sungai yang kurang terjejas apabila cuaca kering.

"Misalnya tanaman padi di Kerian memperoleh air dari Sungai Kerian dan Tasek Bukit Merah, manakala sawah di Seberang Perak memperoleh air dari Sungai Perak dan bendang di Sungai Manik memperoleh sumber air dari Sungai Batang Padang.

Ditanya mengenai usaha jabatan bagi menghadapi musim panas, Noor Azmi berkata pihaknya telah membuka bilik gerakan di setiap daerah dan semua kakitangan kini bersiap sedia menerima laporan serta aduan.

"Pihak jabatan juga menyediakan aset seperti pam air yang boleh dipinjamkan kepada petani yang terjejas ekoran kekurangan bekalan air," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS