Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

WAWANCARA Jika Deklarasi Rakyat bagi mendesak pengunduran Datuk Seri Najib Razak akan gagal, usah dipedulikan dan tidurlah dengan nyenyak.

Begitu 'pesan' timbalan presiden Umno yang digantung tugas Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam wawancara dengan Malaysiakini di pejabatnya di ibu negara Khamis lalu.

Sehari kemudiannya, ketika beliau dianggap pengkhianat oleh sesetengah penyokong Najib, Muhyiddin hadir merasmikan acara menandatangani deklarasi itu di Pagoh, kawasan parlimennya.

Lebih seribu orang Umno dilapor menurunkan tandatangan bagi menuntut presiden parti Melayu itu berundur, setelah terpalit kontroversi dalam isu 1MDB dan kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaunnya.

Muhyiddin menolak keras dakwaan beliau seorang pengkhianat. Malah, istilah musuhnya yang membahasakan deklarasi itu sebagai “Deklarasi Mahathir-Kit Siang” juga menurutnya tidak tepat.

Siapa sebenarnya yang menulis teks deklarasi itu? Apa peranan Muhyiddin dan bagaimana dengan tuntutan pembangkang supaya mereka turut menuntut pembebasan Anwar?

Muhyiddin mengupas perkara tersebut satu persatu. Berikut sedutan wawancara beliau:

Malaysiakini: Dalam Save Malaysia, Tan Sri, (Lim) Kit Siang dan Tun Mahathir diserang hebat oleh Umno dan BN.

Muhyiddin: Itu salah satu dari inisiatif kami yang dipelopori oleh Tun Mahathir dan saya bersama rakan-rakan. Tidak ada terlibat pihak-pihak yang dinyatakan tadi kerana kami memikirkan apakah langkah-langkah ke hadapan menghadapi yang di hadapan. Jadi kami berpendapat salah satu (usaha) untuk menggesa Datuk Seri Najib berundur, itu ringkasan dari matlamat deklarasi itu dan kami nyatakan secara jelas.

Jadi apabila kita buat begitu, jadi pihak yang lain-lain berkata mereka sependapat mereka tidak bodoh. Di pihak pembangkang, NGO, masyarakat sivil, yang lain pun melihat situasi yang berlaku dalam negara ini dan mereka lihat di mana punca masalah.

Puncanya di situ, jadi inisatif kami buat begini. Jadi yang lain kami pun setuju jugalah. Jadi kalau dilihat sudut bahasa, yang digunakan ialah coup, c-o-u-p. Coup maknanya kita tidak berfikir bahawa Tun Mahathir dan Kit Siang boleh bertembung dalam satu platform kerana mereka tidak sama.

Mereka berfikir Anwar Ibrahim boleh menyokong inisiatif ini? Masalahnya Tun Mahathir dengan dia (Anwar) pun tidak itu (sama pendapat). Saya pun fikir seperti yang di sebelah sana (pembangkang) nak bersama-sama. Tapi dia (Mahathir) kata tak apa pasal tujuannya satu iaitu nak menyelamatkan negara dan itulah formulanya.

Itu semua orang dah fikir dah, jalan penyelesaian untuk menyelamatkan negara ialah perdana menteri mesti turun. Semua orang berkongsi (pandangan) sama. Bila saya tandatangan, Kit Siang tandatangan, memang saya tahu media perdana mengeluarkan (berita) itu, kata bersekongkol dengan perangkap pembangkang.

Dan mengatakan saya telah menjual negara, pengkhianat dan sebagainya. No, Muhyiddin masih sama dengan yang dulu. Sama.

Cuma masih dalam yang begini mereka bersedia sebab dalam soal negara saya fikir mereka berhadapan dengan tekanan kerana mereka menjadi sebahagian dari pihak pimpinan negara walaupun di bahagian sebelah sana.

Ada setengah negeri mereka jadi kerajaan. Pastinya rakyat dan pengundi mereka bertanya mengenai soal ini dan bagaimana nak selesaikan masalah. Mereka ditekan dan kami ditanya. Jadi bila dicari satu formula untuk menarik, mereka yang bersetuju.

Jadi bagi saya jangan diputarbelitkan dan dipusing-pusingkan berita yang tidak betul sehingga saya berjalan dengan Azmin pun jadi satu dosa besar. (ketawa). Pasal menakut-nakutkan ini dah jadi satu fobia.

Kita kena jadi terbuka dalam menghadapi realiti hari ini dan sanggup berfikir di luar kotak untuk menangani isu yang besar pada hari ini.

Jadi saya tidak segan silu mengatakan tindakan kami adalah tidak salah. Dan ada pihak, sesiapapun, hari ini hampir 50,000 yang sudah pun menyatakan sokongan dalam online, hard copy , kita masih berterusan berjalan.

Jadi saya fikir rakan-rakan dalam Umno bimbang. Ada yang memperkecilkan, (dakwa) ia adalah gimik dan tidak mewakili suara rakyat.

Dari itu jangan bimbang dan jangan cerita yang karut-karut. Mereka jangan bimbang. Jadi, tidur nyenyak-nyenyak dan jangan takut soal Deklarasi Rakyat, kalau begitu halnya OK.

Tapi saya percaya di hati perut mereka, mereka sudah rasa gundah dengan apa yang berlaku dan buat macam-macam – menggambarkan saya pengkhianat. Saya tidak begitu dan saya rasional. Saya fikir Tun Mahathir walaupun sudah 91 tahun masih rasional, berfikir betul dan perbuatan kita bukanlah salah.

Dalam Deklarasi Rakyat, pembangkang bukan sahaja nak jatuhkan PM tapi mereka ada harapan supaya Tan Sri dan Tun Mahathir turut serta dalam kempen bebaskan Anwar Ibrahim.

Saya balik pada apa yang disebut oleh Tun Mahathir. Fokus kita adalah supaya Datuk Seri Najib berhenti. Lain dari subjek itu tidak dibincangkan langsung.

Malahan ada subjek lain nak dibawa kerana kami datang dari pelbagai-bagai kumpulan yang ada kepentingan tertentu. Jadi kalau nak berjuang untuk kepentingan tertentu maka kesan pertama untuk sasaran kita tidak akan terjadi, fokus kita akan jadi berbagai-bagai.

Oleh sebab itu maka perjuangan itu akan jadi lemah. Sebab kita tidak ada matlamat perjuangan yang satu. Jadi, tujuan Tun, mari fokus pada satu subjek. Jadi isu lain kita kemudiankan.

Mungkin pihak di sebelah sana (kata) penting, pihak di sini kata saya nak yang ini. Jika dilayan itu ini dan yang ini (guling Najib) tidak jadi. Strateginya betul, elok kita fokus pada yang itu sahaja. Jangan kita campur adukkan dengan lain-lain perjuangan dan kepentingan. Ia boleh mengganggu sasaran utama, itu lebih penting.

Bagaimana ada pihak yang menggunakan istilah Deklarasi Mahathir-Kit Siang?

Tak betul, salah. Nak kata deklarasi Mahathir pun tak betul. Nak kata deklarasi Kit Siang lagi salah. Tak ada kaitan dengan Kit Siang. Tanyalah Kit Siang, ada tak dia duduk menggubal deklarasi itu? Tidak ada.

Saya tengok Tun Mahathir. Dan saya tengok draf itu kita sediakan. Dan kita bagi pada mereka untuk mereka tengok. Bukan ada dia tambah. Tidak ada, itulah yang kenyataannya.

Jadi nak panggil Deklarasi Mahathir pun tak betul. Nak panggil Deklarasi Kit Siang lagi salah. Ini adalah deklarasi rakyat yang dibuat bersama-sama untuk kepentingan bersama-sama. Itu lebih penting.

Saya fikir muslihat mereka untuk menggagalkan dan saya fikir mereka tidak akan berjaya dan kita akan terus jelaskan.

Lihat Komen
ADS