Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas CJ: Keputusan AG tak tertakluk semakan kehakiman

Dua bekas Ketua Hakim Negara didapati mengesahkan bahawa Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas tentang kuasa peguam negara (AG) berhubung perkara jenayah dan keputusan yang dibuatnya tidak tertakluk kepada semakan semula kehakiman.

Bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi merujuk kepada penghakiman Tun Mohamed Suffian Hashim dan Tun Mohamad Salleh Abbas dalam dua kes jenayah.

"Keputusan Yang Arif Tun Suffian dalam kes Long Samat lwn Pendakwa Raya pada 1974 mempunyai latar belakang kontroversi yang wujud hari ini tentang bidang kuasa pendakwaan peguam negara.

"Mahkamah tidak boleh memaksa (AG) mengadakan prosiding jenayah yang beliau tidak ingin adakan atau melakukan sebarang prosiding jenayah yang beliau putuskan untuk tidak meneruskannya," kata beliau.

Begitu juga, kata Zaki, apabila Tun Salleh Abas dalam kes PP lwn Zainuddin pada 1986 menyebut bahawa Perlembagaan tidak memberi AG 'kuasa eksklusif berkaitan arah tuju dan kawalan terhadap perkara jenayah' dan 'keputusan beliau tidak tertakluk kepada sebarang semakan semula kehakiman'.

Zaki juga berkata sebarang resolusi oleh sesebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mendesak AG berundur secara paksa, tidak mempunyai sebarang kesan dari segi undang-undang kerana AG dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri mengikut Perkara 145(1) dan beliau menyandang jawatan itu selagi diperkenankan baginda.

Kuasa AG mengenai pendakwaaan diperuntukkan mengikut Seksyen 376 Kanun Atur Cara Jenayah dan mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, katanya.

"Mengikut Perkara 145(3), peguam negara hendaklah memiliki kuasa yang boleh digunakan atas budi bicaranya untuk mengenakan, menjalankan atau tidak meneruskan sebarang prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan Mahkamah Syariah, Mahkamah Pribumi atau Mahkamah Tentera," kata Zaki.

Bagaimanapun, bekas ketua hakim negara itu berkata AG tidak mempunyai kuasa untuk memerintahkan agensi penyiasatan supaya tidak meneruskan siasatan atau menutup fail mereka.

"Mengikut undang-undang sedia ada, mereka bebas melaksanakan tugas mereka dengan tekun dan bebas, untuk menutup atau membuka semula fail mereka dan untuk mengemukakan dan mengemukakan semula dapatan mereka kepada AG berhubung keputusan beliau bekaitan pendakwaan," kata Zaki.

Zaki bagaimanapun percaya bahawa dalam sesebuah demokrasi berperlembagaan, tidak ada kuasa yang bersifat mutlak atau terbelenggu yang, dalam erti kata, penerimanya bebas untuk menyalahgunakan kedudukan, bertindak secara mala fide (dengan niat jahat) atau secara berat sebelah.

"Jawatan awam merupakan suatu amanah orang ramai. Semua kuasa awam mestilah dilaksanakan dengan niat baik, secara berkecuali, tidak memihak, sejajar dengan undang-undang sedia ada dan dengan sentiasa mengambil kira tentang kepentingan awam. Perkataan seperti 'mutlak' dan 'tidak terbelenggu' bagi menjelaskan tentang kuasa sesebuah agensi berperlembagan, adalah ketinggalan zaman dan perlu ditegah," katanya.

Bekas ketua hakim negara itu menegaskan bahawa penyalahgunaan kuasa tidak dibenarkan oleh Perlembagaan tetapi ia perlu diperjelaskan bahawa bukan setiap isu negara semestinya berakhir secara automatik di tangan badan kehakiman.

Undang-undang perlembagaan dan pentadbiran sentiasa mengiktiraf beberapa had ketara mengenai perkara yang tertakluk kepada pemeriksaan kehakiman, katanya.

Namun, Zaki menegaskan bahawa walaupun sesuatu keputusan itu tidak bersifat boleh disemak semula di mahkamah, ia tidaklah bermakna pihak berkuasa berkenaan berada pada kedudukan yang mengatasi undang-undang dan bebas untuk bertindak dengan sewenang-wenangnya.

"Ringkasnya, ia bererti keputusan itu tidak sesuai untuk dibuat pemeriksaan kehakiman. Remedi alternatif yang lebih sesuai mungkin wujud, sebagai contoh, satu inkues Parlimen semasa sesi soal jawab, kecaman pemilih melalui pilihan raya atau siasatan oleh sebuah suruhanjaya diraja," katanya.

Zaki berkata dalam kes jenayah, sama ada keterangan berwibawa wujud atau tidak, atau sama ada bukti mencukupi untuk mewujudkan kes dan sama ada keterangan yang diberi boleh ditangkis dalam jawapan, merupakan persoalan yang terserah kepada budi bicara AG untuk diputuskan.

"Beliaulah yang memutuskan tentang 'semua persoalan penting berkaitan dasar... dan sikap yang perlu diamalkan pihak pendakwaan terhadap bantahan yang dibangkitkan atau tuntutan yang dibuat tertuduh berkaitan sesuatu keterangan," katanya sambil merujuk kepada kes PP lwn Datuk Harun Idris pada 1976.

Zaki berkata di Malaysia, mahkamah tidak boleh memerintahkan agar pendakwaaan dibuat atas inisiatifnya sendiri atau berdasdarkan aduan daripada seseorang warganegara.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS